3,816 kes penipuan komunikasi dicatat, kerugian cecah RM162 juta


Alfian Z.M. Tahir

Pesara, kumpulan kelas menengah, ahli perniagaan wanita, pelajar sekolah menengah dan universiti dikesan jadi sasaran mudah penipuan. – Gambar AFP, 7 Mac, 2019.

3,816 kes penipuan telekomunikasi dicatatkan tahun lepas dengan kerugian mencecah RM162 juta, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Dr Ali Mohamad Nor hari ini.

Bercakap kepada media, Ali berkata walaupun jumlah kes dilaporkan menurun berbanding tahun sebelumnya, jumlah kerugian meningkat.

“Apa yang membimbangkan kami adalah jumlah wang terlibat dalam penipuan meningkat walaupun jumlah kes menurun.

“Misalnya pada Oktober 2018 sahaja, 8,313 kes tipu panggilan dilaporkan dan pada 2017, 10,203 kes (jenis sama) dilaporkan.

“Kerugian penipuan telekomunikasi adalah RM162 juta tahun lepas. Pada 2017, ia hanya RM65 juta. Bezanya besar dan ia membimbangkan walaupun kami sudah menjalankan pelbagai kempen untuk mendidik orang awam tentang penipuan dalam talian.

“Bagi penipuan pinjaman tak wujud pula berlaku penuruan di mana hanya 286 kes dilaporkan pada 2018, berbanding pada 2017 di mana 513 kes dilaporkan.

“Tahun lepas, statistik menunjukkan kerugian adalah RM 37 juta sementara pada 2017, ia adalah RM32 juta. Satu lagi contoh kes menurun tetapi kerugian meningkat,” katanya kepada media.

Menurut Ali, terdapat empat jenis penipuan di negara ini yang menyumbang kepada jumlah kerugian yang besar itu.

“Penipuan paling bahaya adalah tipu panggilan, Penipuan Macau, penipuan pinjaman tak wujud dan penipuan 419 atau Penipuan Afrika.”

“Kami mempunyai pelbagai kempen untuk mendidik orang awam, kami menyediakan maklumat tentang jenis penipuan dan bagaimana untuk tidak ditipu sindiket ini, tetapi ia masih berlaku,” tambahnya.

Katanya lagi, kementerian dan polis memberi tumpuan kepada enam kumpulan berisiko tinggi dimanipulasi sindiket.

“Kami mensasarkan pesara, kumpulan kelas menengah, ahli perniagaan wanita, pelajar sekolah menengah dan universiti.

“Kajian kami mendapati enam kumpulan ini adalah sasaran mudah. Kerana itu, kami mensasarkan mereka dengan bantuan polis dan agensi lain, kami akan fokus kepada mereka dan akan cuba menyebarkan maklumat sebanyak mungkin untuk melindungi mereka daripada ditipu.”

“Malah, sejak Oktober 2018, kami sudah menerbitkan artikel, slot TV dan slot radion daripada wakil kami, video promosi, poster dan papan tanda di lebuh raya untuk mewujudkan kesedaran,” tambahnya.

Ditanya sekiranya kempen itu gagal, Ali berkata jumlah kerugian mungkin bertambah tinggi jika tidak ada usaha kementerian mengekang masalah itu.

“Saya sedar tentang kerugian besar yang wujud walaupun kami berusaha tanpa henti. Tetapi, ia boleh jadi lebih tinggi jika tidak kerana usaha bersama kami dengan polis dan agensi kerajaan lain,” katanya. – 7 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen