Penduduk dakwa Pakatan Johor guna taktik era BN rampas tanah


Sheridan Mahavera

Penduduk Taman Kim Teng, Johor kini berdepan cubaan kerajaan negeri sekali lagi mahu merampas tanah mereka. – Gambar ehsan Persatuan Penduduk Taman Kim Teng, 10 Mac, 2019.

PENDUDUK Taman Kim Teng, salah sebuah taman perumahan terlama di Johor Bharu, sebelum ini melawan dan menghalang pentadbiran Barisan Nasional (BN) daripada mengambil alih hartanah mereka.

Mereka mendakwa kerajaan negeri diterajui BN sebelum ini cuba melakukan “rampasan tanah” untuk pemaju swasta yang mahukan tanah mereka dengan harga rendah.

Tetapi, mereka tidak pernah menjangka yang kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), yang dipilih rakyat kerana janji mereka tidak mengulangi amalan pentadbiran terdahulu, turut cuba melakukan perkara sama- kurang setahun selepas menang pilihan raya.

Penduduk yang kebanyakkannya adalah pesara, mendakwa kerajaan PH Johor menggunakan taktik sama seperti pentadbiran terdahulu, menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mendapatkan tanah kejiranan itu yang mempunyai 280 rumah.

Kebanyakan mereka, ramai antaranya sudah berusia 80-an dan 90-an, kini tidak mempunyai tempat mengadu dan berharap wakil rakyat mereka- juga daripada PH- akan memperjuangkan nasib mereka, melawan hasrat kerajaan negeri.

Setakat ini, rayuan mereka terhadap Menteri Besar Osman Sapian tidak dihiraukan.

Pejabat Menteri Besar juga tidak memberikan maklum balas kepada permintaan ulasan daripada The Malaysian Insight.

Sebab mengapa tanah mereka kini mahu diambil alih kerajaan negeri juga tidak jelas, kerana penduduk mengandaikan yang tindakan pengambilan tanah menerusi undang-undang hanya dilakukan apabila kerajaan memerlukan tanah persendirian untuk pembangunan projek infrastruktur awam.

Kerajaan negeri mahupun pemaju masih belum bertemu penduduk untuk menjelaskan pengambilan itu.

Ahli Parlimen Johor Bharu Akmal Nasir berkata Akta Pengambilan Tanah 1960 perlu dipinda supaya kerajaan mengadakan rundingan dengan penduduk dan pemilik tanah sebelum proses pengambilan tanah diambil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2019.

Ahli Parlimen Johor Bharu Akmal Nasir dan Adun Stulang Andrew Chen sudah berjanji membawa rayuan penduduk kepada kerajaan negeri, memastikan rundingan berlaku sebelum proses pengambilan tanah bermula.

“Kami tak sangka yang kerajaan ini (PH) buat begini,” kata Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tim Keng Daniel Lokman Hakim.

“Kami ingatkan kerajaan negeri yang berbeza akan bertindak berbeza, tetapi nampaknya kerajaan ini cakap tak serupa bikin,” kata Daniel yang sudah menetap di Kim Teng sejak 1965.

“60% rumah dalam kawasan ini adalah rumah persaraan untuk pemiliknya. Tokong, masjid, hospital semuanya dekad. Jika kerajaan ambil alih, mereka sebenarnya mengusir semua orang (pesara) ke jalanan.”

Rampasan tanah

Kali pertama kerajaan negeri cuba mengambil alih kejiranan seluas 11 hektar itu adalah pada 2015. Penduduk, yang memegang hak milik tanah bebas, hanya dimaklumkan pengambilan itu mahu dilakukan untuk “tujuan pembangunan semula”.

“Alasan tak jelas. Tidak ada apa-apa disebut tentang rancangan kerajaan terhadap tanah itu atau ia diperlukan untuk jalan atau hospital,” kata Daniel.

Pengambilan tanah itu dilakukan menerusi Akta Pengambilan Tanah 1960 yang membenarkan kerajaan mengambil tanah persendirian dan membayar pampasan kepada pemiliknya. Menurut Ahli Parlimen Johor Bharu Akmal, ia selalunya dilakukan untuk mendapatkan tanah persendirian bagi tujuan pembangunan infrastruktur awam.

Tetapi, dalam kes Kim Teng seperti kes Kem Tentera Majidi di Johor Bharu dan Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi, Kuala Lumpur, kerajaan mengambilalih tanah tersebut kemudian diberikan kepada pemaju untuk pembangunan komersial, kata Akmal.

Kawasan kejiranan seluas 11 hektar itu kini sekali lagi berdepan cubaan kerajaan negeri mahu merampas tanah mereka selepas berjaya mengagalkan usaha tersebut pada zaman pentadbiran BN. – Gambar ehsan Persatuan Penduduk Taman Kim Teng, 10 Mac, 2019.

Pada 2015, penduduk Kim Teng melakukan bantahan, membentuk persatuan dan memberikan petisyen kepada ahli Parlimen Johor Bharu ketika itu, Shahrir Samad.

“Shahrir berjaya memujuk kerajaan negeri daripada meneruskan hasrat mereka. Pada 2016, gazet itu mengambil tanah itu dibatalkan,” kata Daniel.

Tetapi, pada Januari lalu, penduduk mendapat berita daripada sumber Pejabat Tanah yang menteri besar sudah menandatangani semula gazet tersebut.

Pada pertemuan diadakan 2 Mac lalu, penduduk memutuskan untuk melawan cubaan terbaru pengambilan itu.

Chen, wakil rakyat kawasan itu, berkata beliau sudah membawa kes itu kepada kerajaan negeri dan menteri besar.

Akmal pula berkata beliau akan membawa kes itu kepada kerajaan negeri dan Parlimen, kerana pengambilan itu ada kaitan dengan akta persekutuan.

“Ada dua pilihan untuk kerajaan negeri. Sama ada batalkan rancangan atau teruskan tetapi jangan ambil alih tanah sebelum berbincang dan berunding dengan penduduk.”

Tambahnya lagi, akta tersebut juga perlu dipinda untuk memerlukan kerajaan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pemilik tanah terlibat. Buat masa sekarang, kerajaan negeri atau persekutuan tidak perlu memberikan justifikasi pengambilan atau berunding dengan pemilik tanah.

“Untuk panggil kes (Kim Teng) sebagai rampasan tanah adalah kenyataan adil dibuat penduduk. Mereka tidak diajak berbincang tentang pengambilan dan ini berlaku banyak kali di mana-mana.” – 10 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen