PBB gesa Perancis siasat salah guna kuasa dalam protes jaket kuning


Ketua hak asasi manusia PBB Michelle Bachelet berkata Perancis perlu melakukan siasatan penuh terhadap kemungkinan penggunaan kuasa berlebihan oleh polis ketika protes jaket kuning. – Gambar EPA, 7 Mac, 2019.

KETUA hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan penuh terhadap kemungkinan penggunaan kuasa berlebihan oleh polis Perancis ketika protes jaket kuning.

“Mereka membuat bantahan terhadap apa yang mereka lihat sebagai hak ekonomi dan penyertaan dalam hal ehwal umum,” kata Michelle Bachelet dalam ucapan tahunannya di Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.

“Kami menggalakkan kerajaan itu untuk meneruskan dialog – termasuk membuat susulan kepada perbincangan nasional – dan menggesa siasatan penuh terhadap semua laporan kes penggunaan kuasa berlebihan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Bantahan jaket kuning setiap minggu itu bermula pertengahan November, awalnya berpunca kerana tidak puas hati terhadap kenaikan cukai minyak.

Tetapi ia berkembang dengan cepat menjadi kebangkitan anti kerajaan oleh rakyat luar bandar dan bandar kecil di Perancis yang marah dengan dasar diperkenalkan Presiden Emmanuel Macron.

Komen Bachelet itu disambut dingin oleh Paris di mana Perdana Menteri Edouard Philippe berkata Perancis tidak perlukan PBB untuk beritahu tentang keganasan yang dicemari oleh protes jaket kuning itu.

“Di Perancis, kami ada kedaulatan undang-undang,” katanya kepada FMTV.

Jurucakap Perancis Benjamin Griveaux juga menyatakan terkejut dengan kritikan Bachelet, di mana siasatan terhadap salah guna kuasa sepanjang protes itu dijalankan terhadap 162 kes.

Sejak demonstrasi bermula pada 17 November, kira-kira 1,900 orang cedera dalam protes itu.

Seramai 11 orang maut ketika protes, tetapi seorang mangsa kemalangan jalan raya.

Pasukan keselamatan yang menggunakan peluru getah juga menjadi antara kontroversi utama walaupun aktivis Perancis baru-baru ini tewas dalam permohonan memaksa polis menghentikan penggunaannya. – AFP, 7 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen