Peru buka pangkalan tentera lindungi hutan Amazon


Peru membuka pangkalan tentera di dalam hutan Amazon bagi menghapuskan aktiviti perlombongan haram dan penebangan hutan. – Gambar AFP, 7 Mac, 2019.

KERAJAAN Peru membuka pangkalan tentera di dalam hutan Amazon Selasa lalu bagi membanteras kegiatan perlombongan haram yang juga punca utama penebangan hutan terbesar dunia itu.

“Kerajaan mengambil tindakan politik seperti ini untuk menghapuskan aktiviti perlombongan haram,” kata Menteri Pertahanan Jose Huerta pada majlis pembukaan pangkalan itu di pusat perlindungan alam semula jadi Tambopata.

Pangkalan itu terletak di dalam kawasan Madre de Dios iaitu lokasi utama perlombongan haram di Peru.

Pangkalan tentera itu beroperasi menggunakan sebuah kem balak lama yang ditinggalkan pelombong haram dua minggu lalu apabila kerajaan Peru memulakan operasi Merkuri untuk menghapuskan aktiviti mereka.

“Kami akan berada di sini selama mana yang diperlukan,” kata Huerta, menambah lebih banyak pangkalan tentera akan diwujudkan selepas ini.

Menteri Alam Sekitar Fabiola Munoz yang turut hadir majlis pembukaan pangkalan tentera itu berkata, kawasan Madre de Dios kaya dengan kepelbagaian biodiversiti dan berpotensi besar untuk dimajukan sebagai tarikan pelancong.

Katanya, pelancong ke Tambopata, 1,000km di timur Lima menghabiskan lebih banyak wang di situ berbanding Machu Picchu, tarikan utama pelancong negara berkenaan yang juga ibu negara empayar Inca. – AFP, 7 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen