POLIS Britain berkata satu bungkusan ditemui di Glasgow semalam disyaki ada kaitan dengan tiga bahan letupan kecil di London pada hari sebelumnya.
“Disebabkan bungkusannya hampir sama, tanda dan jenis peralatan yang ditemui di Galsgow, kami andaikan ia ada kaitan dengan tiga bungkusan yang sedang disiasat di London,” kata Komander Clarke Jarrett dari unit anti keganasan dalam satu kenyataan.
“Kami bekerjasama rapat dengan polis Scotland dan kedua-dua siasatan dijalankan seiring.”
Terdahulu polis Scotland melakukan letupan terkawal terhadap bungkusan yang diterima di University of Glasgow dan berkata tiada risiko berlanjutan kepada umum.
“Bungkusan itu tidak dibuka dan tiada sesiapa cedera.
“Perkhidmatan kecemasan dimaklumkan dan beberapa bangunan di kawasan itu dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.”
Tiga bahan letupan kecil itu yang dipercayai mampu mencetuskan kebakaran kecil, ditemui di beberapa lokasi berasingan di London semalam.
Polis Ireland kemudian berkata mereka membantu polis Metropolitan dengan soal siasat mereka, susulan Sky News melaporkan bungkusan itu ditampal dengan setem Ireland.
Bungkusan yang mencurigakan itu ditemui di blok pejabat bersebelahan lapangan terbang Heathrow, di stesen Waterloo dan bangunan pejabat berhampiran Lapangan Terbang Bandar London di timur ibu kota itu.
Ia kemudian dihantar ke Compass Centre, berhampiran landasan utara Heathrow, dibuka oleh seorang staf menyebabkan sebahagian bungkusan itu terbakar, tetapi tiada kecederaan dilaporkan. – AFP, 7 Julai, 2019.
Komen