SENATOR Arizona Martha McSally, wanita pertama pergi berperang bersama pasukan tentera udara Amerika Syarikat (AS) berkata beliau dirogol oleh pegawai penyelianya ketika berkhidmat.
McSally, 52, yang berpengalaman 26 tahun dalam pasukan tentera udara dan menjadi komander untuk skuad jet pejuang, mendedahkan serangan dihadapinya itu dalam keadaan penuh emosi ketika pendengaran jawatankuasa kecil Senat berkenaan serangan seksual dalam ketenteraan.
“Saya juga mangsa serangan seksual dalam tentera, tetapi tidak seperti mangsa lain yang berani, saya tidak melaporkan kejadian itu.
“Sama seperti kebanyakan wanita dan lelaki lain, saya tidak percaya pada sistem ketika itu. Saya salahkan diri sendiri. Saya malu dan keliru. Dan saya fikir saya kuat tetapi saya rasa saya tidak berdaya.
“Penyerang menyalahgunakan kedudukan dan kuasa mereka dalam pelbagai cara,” katanya yang juga senator Republikan penggal pertama.
“Dan dalam satu kes saya diumpan dan kemudian dirogol oleh pegawai atasan saya.”
McSally, berkhidmat dalam Air Force sehingga 2010 dan bersara dengan pangkat kolonel, berkata beliau mendiamkan diri tentang serangan itu selama bertahun-tahun.
“Tetapi kemudian, ketika ketenteraan bergelumang dengan pelbagai skandal dan mereka memberi respons yang tidak sewajarnya, saya merasakan peru untuk beritahu orang lain bahawa saya juga seorang mangsa,” katanya.
Dalam satu laporan dikeluarkan pada Mei 2018, Pentagon berkata jumlah kes serangan seksual yang dilaporkan oleh anggota meningkat kira-kira 10% pada fiskal 2017.
Katanya, Pentagon menerima 6,769 laporan serangan seksual membabitkan anggota sama ada sebagai mangsa atau subjek siasatan jenayah. – AFP, 7 Mac, 2019.
Komen