BINTANG R&B terkenal R Kelly ditahan sekali lagi semalam kerana gagal membayar nafkah anak, hanya beberapa minggu selepas ditahan atas tuduhan salah laku seksual.
“Dia ditahan dan akan dihantar ke penjara Cook County hari ini,” kata jurucakap pejabat serif Sophia Ansari, susulan prosiding mahkamah di Chicago.
Ansrai berkata Kelly berhutang AS$161,000 dan diarahkan membayar jumlah penuh, dengan mahkamah menetapkan 13 Mac untuk pengurusan kes.
Kelly mengaku tidak bersalah pada 25 Februari atas 10 kesalahan jenayah seksual terhadap empat mangsa, dengan tiga daripadanya bawah umur. Dia dibebaskan dengan ikat jamin AS$100,000 pada hari sama, selepas tiga malam ditahan di penjara.
Beberapa jam selepas prosiding mahkamah semalam, CBS menyiarkan temu bual dengan artis itu di mana dia menafikan tuduhan itu – komen umum pertamanya sejak didakwa bulan lalu.
“Saya tidak buat benda ini. Ini bukan saya,” kata Kelly dalam program “CBS This Morning” dan berkata dia berjuang untuk hidupnya.
“Sama ada ia khabar angin lama, baru atau akan datang, ia tidak betul,” katanya. – AFP, 7 Mac, 2019.
Komen