FIKAH bukan wahyu. Tapi ijtihad. Mengubah fikah tidaklah bermakna mengubah Islam kerana fikah itu maksudnya kefahaman realiti – memahami teks syariat antara budaya, masyarakat dan tempat.
Kebenaran fikah tidaklah mencapai darjat qathiy (pasti) – ketetapan Allah tidak boleh sesuka hati diubah-ubah. Sebaliknya fikah bersifat kontekstual, seiring perkembangan masa dan kemajuan relatif (dhanni). Kaedah fikah menyebut: “Perubahan fatwa mengikuti perubahan situasi, keadaan, niat dan tradisi.”
Malangnya, perkembangan fikah di Malaysia masih tumpul, sekadar ulangan dalam kitab – bukan bersandarkan realiti kehidupan umat di Malaysia. Perbahasan begitu dangkal. Agamawan sekadar memetik teks untuk ditampal ke dalam realiti. Bukan realiti yang sepatutnya diadun ke dalam fikah.
Realitilah seharusnya mengubah teks fikah. Umat diajar menelaah fikah. Bukan diajar mencipta fikah. Hukum berubah-ubah. Boleh jadi haram, mubah, sunat, harus dan kadangkala yang “mutlak haram” jadi “tidak haram”.
Perubahan berubah apabila kita faham bagaimana untuk berinteraksi antara teks dan konteks – kebijakan mengurus sosial. Maka, fikah tidak kekok mengurus kehidupan – muaranya keadilan sosial.
Malangnya, umat tidak diajar membentuk hukum fikah. Kerana kita anggap fikah tentang suka atau tidak suka terhadap sesuatu. Sebaliknya fikah memilih yang cerdas dari yang keruh. Bukanlah yang keruh perlu dibuang. Tapi disegarkan.
Umat masih percaya fikah umpama hanya 5 + 5 = 10 sedangkan fikah boleh jadi 7 + 3 atau 9 + 1, jawapannya tetap 10.
Itulah dinamiknya perkembangan hukum fikah. Tidak kaku, tidak statik. Buktinya hukum (ijtihad) yang baharu tidak menafikan hukum yang lama.
Wawasan fikah
Wawasan fikah luas. Sesekali tidak merendahkan ijtihad lama sebaliknya meraikan ijtihad yang baru. Kaedah itu disebut al-ijtihad la yunqadhu bil al-ijtihad (sesuatu ijtihad tidak membatalkan ijtihad yang lain) selagi mencipta kebaikan (maslahat) dan menghindari keburukan (mafsadah) dalam masyarakat. Yang nyata wawasan fikah tidak meminggirkan nilai kemanusiaan.
Sebegitu jaminan fikah terhadap perihal kebaikan kehidupan manusia – faktor utama. Kaedah fikah menyebut tasharruf al-imam ala ra’iyyatihi manuth bil al-mashlahah (tindakan penguasa ditentukan oleh kemaslahatan umat). Pastilah nilai kemajuan dan kemanusiaan didahulukan.
Paling memualkan ada kononnya ulama yang alih-alih menunggang fikah demi politik jemaahnya, kaumnya – bukan untuk umat. Jadi jangan sempitkan fikah yang luas. Fikah tidak sesempit fikiran kita!
Ada juga agamawan yang konon-konon progresif, alih-alih bersidang tiada suatu yang baru untuk kebaikan umat di Malaysia – fresh ijtihad.
Ulama di Malaysia kontang memikirkan sesuatu hukum yang baharu dan segar untuk kemajuan umat. Malangnya, terlalu terikut-ikut rentak politik tidak sudah-sudah.
Fikah juga digunakan berhabis-habisan demi agenda politik atau perjuangan jemaah tertentu. Akhirnya kita tidak ada apa-apa yang baharu untuk diberi kepada umat demi kehidupan lebih baik, harmoni dan damai.
Jarang sekali agamawan bersidang mahu menyelesaikan isu kritikal umat seperti kemiskinan, toleransi, kedamaian dan kemanusiaan.
Kerana syariat adalah keadilan, demokrasi dan kemaslahatan. Maka segala hukum bertentangan dengan keadilan, kesejagatan dan rahmat kasih sayang tidak terpakai. Sebagaimana disebutkan oleh ulama Islam, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya I’lam al-Muwaqqi in an rabb alamin – aturan fikah mencakupi ikatan Tuhan dan meninggikan kemuliaan manusia.
Malangnya, umat mundur kerana fikah sempit – hanya soal ritual dan ibadah. Sedangkan fikah itu luas meliputi ranah kemanusiaan – politik,sosiologi, ekonomi. Justeru, teks diganding dengan realiti, budaya dan kehidupan. Maka fikah kemanusiaan sangatlah penting seperti yang ditegaskan.
Asas-asas fikah kemanusiaan
Jadi umat perlu tahu asas ringkas fikah atau usul fikah seperti;
Pertama, faham mashlahah mursalah sebagai sumber hukum. Inti pati maslahat adalah penghormatan nilai kemanusiaan – keadilan, kerahmatan dan kebijaksanaan (hikmah). Di mana ada maslahat, di situ ada syariat. Begitulah sebaliknya.
Hukum berubah-ubah mengikut kebijakan dan peredaran zaman. Boleh jadi pada zaman nabi belum wujud sesuatu hukum tapi ia sangat perlu pada zaman ini demi kebaikan umat. Hal ini dikukuhkan oleh ulama Islam, Muhammad Mustafa Syalabi di dalam, ta’lil al-ahkam – andainya kemaslahatan berlaku kontradik dengan nas (teks) maka pilihlah kemaslahatan.
Maka hukum diambil berdasarkan kebijakan dengan menolak darurat – kaedah dar’u al-mafasid muqaddam ala jalbi al-manafi’ (menolak kemafsadatan lebih didahulukan daripada mengambil kemanfaatan).
Sebagaimana kaedah lain menyebut ad-dharurat tuqaddar bi qadariha (keadaan darurat ditentukan mengikut kadarnya), al-darurat tubih al-mahzhurat (darurat mengharuskan yang haram) dan al-Hajah Tanzilu Manzila ad-Dharurah Ammah (hajat diletakkan pada kedudukan darurat).
Kedua, faham istihsan. Mengambil dalil (ma ra’ahu al-muslimun hasanah fahuwa ‘inda Allah hasanun) – “apa yang dipandang baik oleh kebanyakan manusia, maka itu juga baik menurut Allah.” Ibn Rusyd menyebutkan dalam karyanya Bidayatul Mujtahid bahawa istihsan adalah berpaling dari satu dalil untuk merujuk kepada kemaslahatan dan keadilan (al-iltifat ila al-mashlahah wa al-adl).
Maka, istihsan boleh berlaku pelbagai keadaan – darurat, uruf, maslahah. Sebagaimana contoh popular seperti hukum memakan babi yang asalnya haram tetapi dibolehkan andai terjadi darurat – Istihsan bi al-dharurah.
Ketiga, faham urf. Kaedah yang mengutamakan situasi budaya, masyarakat tertentu yang berlainan dari tempat yang lain. Selagi tidak menodai nilai-nilai pensyariatan – kemanusiaan, keadilan, maka urf boleh dijadikan hukum. Apabila urf berakar umbi maka terhasillah pola budaya.
Begitu fikah tidak menolak budaya yang mengakar di satu lokasi selagi ia dapat memanfaatkan prinsip ajaran agama yang tidak melanggar kemanusiaan.
Itu sedikit gambaran ringkas kaedah fikah. Sudah tentu ada berbagai-bagai lagi kaedah yang tidak disebutkan di sini. Sebagai langkah ke depan, umat tidak terperangkap dalam nuansa fikah yang melelahkan di tengah-tengah kehidupan beragama.
Apa ijtihad ulama kita?
Kerana fikah adalah tentang kebijakan sosial dan keadilan, maka para ulama mesti mengajar fikah kemanusiaan kepada umat. Janganlah ajarkan umat jadi taksub membabi buta. Inikan fikah – ijtihad manusia. Justeru umat dahagakan kehidupan yang damai, mendamba fikah yang luas.
Mengapa kita sibuk mengajar yang sebaliknya?
Belajarlah daripada kebijakan ijtihad ulama di negara seberang. Mereka sudah lama jauh ke depan memajukan peradaban dengan keberanian ijtihad demi kedamaian dan menolak kekerasan.
Tapi kita masih lagi bertegang urat soal boleh qunut atau tidak? Wahabi atau Aswaja? Tudung aurat atau tidak?
Masihkah terdapat sinar bahawa fikah yang maju sebegitu boleh berlaku di Malaysia? Susah. Kerana kita masih leka beriman kepada fikah sempit dan mudah percaya kepada agamawan yang menipu, rasis atau acah-acah progresif demi menguntungkan jemaahnya sahaja.
Akhirnya umat beriman dengan fikah kering – Islam yang tidak menghargai martabat kemanusiaan – karamah insaniah. – 7 Mac, 2019.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen