Maduro ajak penyokong sertai himpunan 'anti-imperialis'


Seruan itu bertujuan untuk menundukkan gerakan kumpulan pembangkang "minoriti yang dianggap gila", yang merancang menjejaskan kestabilan negara, kata Maduro ketika menghadiri majlis memperingati ulang tahun keenam kematian, Hugo Chavez. – Gambar EPA, 6 Mac, 2019.

PRESIDEN Venezuela Nicolas Maduro pada Selasa menyeru penyokongnya menyertai perhimpunan “anti-imperialis” pada 9 Mac ini, tarikh yang sama berlangsungnya perarakan anti-kerajaan oleh pembangkang, lapor agensi berita Anadolu.

Seruan itu bertujuan untuk menundukkan gerakan kumpulan pembangkang “minoriti yang dianggap gila”, yang merancang menjejaskan kestabilan negara, kata Maduro ketika menghadiri majlis memperingati ulang tahun keenam kematian, Hugo Chavez.

“Kita akan melakukannya untuk Chavez, untuk sejarah hebat negara ini,” katanya.

Ia merupakan penampilan pertama Maduro sejak pemimpin pembangkang Juan Guaido kembali ke negara itu selepas melakukan lawatan ke beberapa negara Amerika Latin.

Meskipun berdepan larangan perjalanan sejak 30 Januari lalu, Guaido secara rahsia berlepas ke Colombia untuk menyelaraskan usaha membawa masuk bantuan Amerika Syarikat (AS) ke Venezuela.

Guaido turut melawat Brazil, Paraguay dan Argentina. 

“Kami kini lebih kuat dari sebelumnya,” kata Guaido kepada penyokongnya yang berada di  lapangan terbang Caracas.

Venezuela dibelenggu protes sejak 10 Januari lalu, ketika Maduro mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden untuk penggal kedua, menyaksikan majlis itu diboikot pembangkang.

Ketegangan tercetus apabila Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden 23 Januari lalu, disokong AS dan kebanyakan  negara Eropah serta Amerika Latin.

Turki, Rusia, Iran, Cuba, China dan Bolivia pula menyokong Maduro dan negara itu berikrar  memutuskan semua hubungan diplomatik dengan AS.

Presiden Donald Trump didakwa sedang merancang untuk campur tangan di Venezuela dan mengatakan langkah ketenteraan mungkin antara pilihan bagi menamatkan krisis di negara itu.

Venezuela kini bergelut masalah kekurangan makanan dan ubat-ubatan selain kadar inflasi yang tinggi, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa. – Bernama, 6 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen