Kerajaan Pulau Pinang digesa pertimbang kritikan berhubung rancangan struktur negeri  


Looi Sue-Chern

Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah Meenakshi Raman (kanan) dan timbalannya Agnes James di pejabat Lembaga Rayuan Pulau Pinang di mana mereka menyampaikan kritikan mereka terhadap rancangan Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030 (PSP2030), yang mencadangkan projek mega seperti Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan Penambakan Selatan Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2019.

KERAJAAN Pulau Pinang digesa mempertimbangkan bantahan dan kritikan terhadap draf Rancangan Struktur Pulau Pinang (PSP 2030) dengan serius, dan tidak mengadakan pendengaran awam semata-mata demi melaksanakannya.

Individu dan organisasi dijemput untuk berbincang mengenai rancangan tersebut, yang menentukan pembangunan negeri itu untuk dekad yang akan datang. Ia diadakan oleh Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Negeri Pulau Pinang di sebuah forum di Komtar hari ini.

Dr Lim Mah Hui, yang mewakili organisasi Penang Forum yang dilihat kritikal terhadap perancangan kerajaan negeri itu, berkata bahawa kerajaan Pulau Pinang harus memberi alasan mereka jika tidak bersetuju dengan bantahan yang ditimbulkan masyarakat sivil.

“Kerajaan tidak seharusnya mengikut prosedur dan mengadakan pendengaran awam. Jangan kata anda jemput orang datang dan bercakap, dan anda dengarnya.

“Jika anda tidak setuju dengan apa yang kami utarakan, kami harap anda juga akan beritahu kami alasan anda,” katanya kepada pemberita selepas bercakap di hadapan jabatan itu.

Kerajaan negeri bercadang untuk meluluskan dan mengumumkan PSP 2030 pada bulan-bulan akan datang bagi bergerak ke hadapan dalam memajukan negeri itu, ia termasuklah cita-cita tinggi kerajaan negeri untuk melaksanakan Rancangan Induk Pengangkutan Jalan (PTMP) dan Projek Penambakan Pulau Pinang (PSR).

Katakan tidak kepada LRT dan monorel

Lim berkata Penang Forum menentang cadangan projek LRT (transit aliran ringan) dan monorel di bawah PSP 2030, kerana kedua-dua projek kereta api aliran ringan itu belum lagi diluluskan.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak mengkaji atau membandingkan pilihan-pilihan berbeza yang wujud bagi memilih mod pengangkutan awam yang sesuai untuk Pulau Pinang.

“Kedua-dua pengangkutan (LRT dan monorel) mungkin dipilih berdasarkan kepentingan pihak-pihak lain. Negeri perlu melihat alternatif yang lebih murah, seperti trem, BRT (bas transit) dan ART (transit rel autonomi), “katanya.

Penang Forum amat kritikal terhadap PTMP, yang turut mencadangkan pembinaan beberapa lebuh raya baru dan jalan raya di pulau itu. Kumpulan itu  mendakwa bahawa membina lebih banyak jalan tidak dapat menyelesaikan kesesakan lalu lintas dalam jangka masa panjang, ia hanya akan menyebabkan  lebih banyak kereta di jalan raya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah Meenakshi Raman pula berkata PTMP tidak sepatutnya diwartakan di bawah PSP 2030, kerana ia masih merupakan cadangan dan belum diluluskan.

Beliau mempersoalkan bagaimana PSP 2030 yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui teknologi hijau ketika PTMP dilihat banyak menekankan pembinaan lebih banyak lebuh raya dan jalan raya.

“Terdapat keperluan mendesak untuk meniliti dan menilai semua projek mega yang dicadangkan di bawah PTMP ... Dan bagaimana mereka ambil kira risiko bencana dan bagaimana ia dapat menyumbang kepada daya tahan iklim.

“Penambakan PSR juga akan turut memusnahkan ekosistem marin Pulau Pinang dan kehidupan nelayan, ia akan mengganggu aliran hidrologi semulajadi di kawasan pesisir yang boleh menyebabkan hakisan pantai.

“Mengenai model kewangan PTMP, PSR juga perlu diteliti kerana ia menganggap bahawa kerajaan akan dapat menjual kawasan pulau yang ditambak. Adakah model kewangan itu mempertimbangkan kestabilan pasaran yang akan memberi impak kepada penjualan tanah?” soalnya lagi. – 6 Mac, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen