SEMUA ahli jawatankuasa Sri Mahamariamman Devasthanam perlu meletak jawatan serta-merta selepas pengerusi dan dua ahli lain ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat rasuah, kata Arun Dorasamy.
Pengerusi Reform Batu Caves (Reform BC) itu berkata ahli-ahli jawatankuasa pengurusan kuil perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dengan segera.
Arun juga mahu Pengerusi kuil, R. Nadarajah; anaknya dan pemegang amanah kuil; Sivakumar Nadarajah, Krishnamoorthy Vyapuri dan Alagan @ Alake Periasamy dipecat dalam tempoh tujuh hari mulai hari ini.
Sementara empat lagi ahli jawatankuasa yang disebut oleh Arun ialah Aragedas @ Suppiah Haridas, Velugopal Munusamy, Raman Kalimuthu dan Subramaniam Ratnam.
Bagaimanapun, tiada tempoh akhir diberi kepada empat individu tersebut.
“Kami beri masa tujuh hari kepada Sri Mahamariamman Devasthanam untuk memecat lapan orang ini dan kami mahu mereka adakan EGM seperti yang ditetepkan dalam perlembagaan,” kata Arun kepada pemberita hari ini.
Nadarajah ditahan pada malam Isnin selepas SPRM menyerbu rumahnya dan pejabat kuil.
Mahkamah Majistret Putrajaya memerintahkan perintah reman tiga hari terhadap Nadarajah dan dua lagi individu yang dipercayai ahli jawatankuasa kuil. – 6 Mac, 2019.
Komen