EXCO Pulau Pinang sedang mempertimbangkan untuk memfailkan tindakan undang-undang selepas dituduh menerima rasuah daripada konsortium pembinaan terowong bawah laut dan tiga projek utama jalan raya, kata Chow Kon Yeow
Ketua menteri itu berkata pihaknya akan menunggu pihak berkuasa menyelesaikan siasatan sebelum mengambil tindakan undang-undang tersebut.
“Kami tangguh dulu (buat masa sekarang) untuk ambil tindakan undang-undang pada masa akan datang, jika keperluan itu timbul. Kami masih teliti masalah ini.
“Namun sejak ada laporan yang dibuat, kami akan tunggu pihak berkuasa selesaikan dahulu siasatan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Komtar hari ini.
Dakwaan rasuah baru-baru ini muncul dalam siri hantaran di laman web Malaysia Today bertajuk “Dari Fail SPRM” yang dikendalikan oleh blogger kontroversi Raja Petra Kamaruddin.
Hantaran tersebut mendakwa bahawa pegawai eksekutif Consortium Zenith Constructions Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli telah membayar bekas ketua menteri Lim Guan Eng, Chow, yang sebelum ini merupakan exco mitigasi lalu lintas; dan beberapa exco lain sebanyak puluhan hingga ratusan ribu ringgit di pejabat mereka di Komtar.
Blog itu juga turut menyiarkan kenyataan yang “bocor” daripada Zarul yang kononnya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila beliau sebelum ini disiasat berhubung tuduhan rasuah.
Dalam Bahagian 4 siri hantaran yang disiarkan itu, satu halaman dari kenyataan yang “dibocorkan” menyatakan bahawa Chow menerima RM50,000 pada bulan April 2013.
SPRM telah membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dibocorkan, manakala Zarul dan Lim telah menafikan dakwaan rasuah tersebut. Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pembohongan.
Chow berkata beliau berasa sedih kerana namanya dipetik dalam dakwaan rasuah untuk kali pertama sejak berada dalam politik tanah air selama 32 tahun.
“Kami telah adakan perbincangan tentang apa yang boleh kami lakukan mengenai tuduhan tersebut, seperti melaporkan kepada pihak polis, failkan kes ke mahkamah atau tunggu siasatan selesai dan penafian pihak lain (mengenai dakwan itu).
“Pada masa ini, Zenith telah nyatakan pendiriannya secara jelas ketika SPRM membuat laporan polis.
“Kita juga harus ingat bahawa orang yang membuat tuduhan ini berada di UK. Tidak begitu mudah untuk saman dia, melainkan jika kami failkan kes-kes kami di sana,” katanya.
Chow juga berkata beliau tidak pernah dipanggil SPRM ketika agensi anti-rasuah itu mula menyiasat secara terperinci mengenai projek terowong bawah tanah dan jalan raya pada 2017 dan 2018.
“Saya tidak tahu tentang siasatan,” katanya, namun menambah bahawa beliau tahu mengenai Zarul sebelum ini yang menerima surat daripada SPRM yang memberitahunya bahawa tidak ada tindakan lanjut. – 6 Mac, 2019.
Komen