SEBUAH pusat rawatan Ebola di pusat penularan wabak itu di timur Republik Demokratik Congo menyambung semula operasi selepas ditutup susulan satu serangan minggu lepas, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.
Kemudahan di bandar Butembo itu adalah antara dua pusat yang dibakar oleh penyerang tidak dikenali dalam tempoh selang beberapa hari menyebabkan Medecins Sans Frontieres (MSF) menggantung aktiviti perubatan.
Pekerja bantuan berdepan ketidakpercayaan di sesetengah kawasan ketika mereka bertungkus-lumus membendung penularan wabak Ebola yang dianggap sebagai paling buruk dalam sejarah Congo.
Kementerian itu berkata pusat rawatan di Butembo dibuka semula pada Sabtu.
“Buat masa ini, ia diuruskan oleh kementerian dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan UNICEF,” menurut kenyataan kementerian itu.
MSF tidak menyatakan bila ia akan menyambung aktiviti perubatan di kawasan itu.
Epidemik semasa Ebola yang pertama kali diisytihar pada Ogos tahun lepas dipercayai meragut sekurang-kurangnya 561 nyawa setakat ini dan menjangkiti lebih 300 orang. – Bernama 6 Mac, 2019.
Komen