SEORANG komposer dan penyanyi jalanan bertanya pada saya: “Aku dijemput menyanyi dalam show politik. Tapi aku diminta menyanyi lagu kemanusiaan saja. Patutkah aku pergi?”
Saya menjawab: “Menyanyi cara kau cari rezeki. Menyanyi apa salahnya. Asal kau jangan sampaikan ucapan politik.”
Rakan saya terdiam. Wajahnya jelas kelihatan buntu dan masih 50:50 untuk menerima nasihat saya.
“Rasanya, elok aku jauhkan diri dari politik. Dalam keadaan sekarang, naik pentas menyanyi pun, orang akan anggap kita berpolitik juga,” katanya.
Ini antara ketakutan era lama yang masih menghantui seniman hari ini. Apalagi seniman kecil. Pentas politik, sekali pun untuk seniman menyatakan perjuangan kemanusiaan, pasti akan ditafsir sebagai sebahagian daripada kader politik parti yang menganjurkan acara.
Sahabat saya jadi gusar kerana dia berada di pentas politik pembangkang dan sangat bimbangkan akibatnya terhadap karier sebagai pemuzik jalanan.
“Kau pun tahu, aku masih pegang permit menyanyi tepi jalan. Nanti, kalau jadi isu politik, aku takut permit enam bulan sekali akan dibatalkan.
“Tak ada jaminan, sekarang ini wujud kebebasan untuk seniman. Orang boleh batalkan permit busking atas macam-macam alasan, ” balasnya.
Saya turun ke Kampung Baru dan menghabiskan dua tiga gelas teh tarik, hanya kerana menyelesaikan kebimbangan seorang rakan, seniman jalanan.
Ketakutan masih menebal, sekali pun Malaysia Baharu mempromosi soal kebebasan bersuara dan martabat baharu seniman sebagai pengisi agenda kebebasan berkarya.
Di jalanan, menyanyi selama empat jam sehari bermula sekitar 10 malam hingga 2 pagi mampu memberikan pulangan RM80 hingga RM100 semalam.
Kalau hujung bulan dan pada malam minggu – jika murah rezeki, sumbangan pelanggan kedai mamak boleh mencecah RM150. Angka pendapatan yang menjadikan kerjaya seniman jalanan satu pilihan kerja tetap yang berbaloi.
“Cuma menyanyi di pentas politik dengan bayaran RM500 masih satu risiko yang menakutkan, ” katanya.
“Kita dah masuk Malaysia Baharu, bro, ” kata saya.
Itu pertemuan biasa-biasa dan ia gambaran bahawa Malaysia Baharu yang berusia 10 bulan masih tiada jaminan untuk setiap orang merasakan wujud kebebasan tulen.
Saya cuba berfikir, secara realistik: Apakah senario sebenar yang menciptakan ketakutan pada seniman kecil seperti sahabat saya?
Dia penyanyi jalanan yang sangat prihatin pada isu kemanusiaan sejagat. Tetapi menyanyi lagu kemanusiaan pada majlis anjuran parti pembangkang masih berisiko tinggi pada era Malaysia Baharu.
Kes tangkapan demi tangkapan ke atas ahli politik memang jelas kerana wujudnya kes rasuah dan siasatan dijalankan dengan adanya bukti. Justeru, wujud kes prima facie untuk pertuduhan mahkamah.
Memang sangat banyak tangkapan demi tangkapan membabitkan ahli politik sepanjang sepuluh bulan pertama Malaysia Baharu dibentuk.
Malah, tangkapan demi tangkapan juga dilakukan secara silih berganti terhadap orang korporat terutama GLC. Namun, ia bukan tangkapan rambang.
Setiap tangkapan secara umumnya difahami sebagai kes yang wajar dibawa ke mahkamah kerana banyak pendedahan salah laku dan ketirisan GLC turut membabitkan level kuasa korporat. Malah, dalam banyak kes, salah guna kuasa sudah didedahkan secara berleluasa.
Namun, kesan tangkapan demi tangkapan ini, turut mencetuskan ketakutan. Seniman jalanan seperti kawan saya beranggapan, semua tindakan ini sebagai gambaran memusnahkan musuh politik kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Jadi, sebagai seniman yang diundang ke majlis parti pembangkang, rakan saya beranggapan, dia bakal dianggap musuh kerajaan. Ini mengheret rasa takut. Kononnya, siapa saja yang pro pembangkang akan disenarai hitam dan bakal berdepan pembalasan dendam kerajaan.
Sekali pun, dibalas dengan menarik balik permit pemuzik jalanan, ia akan memusnahkan kerjaya lebih sedekad kawan saya ini mencari rezeki menyanyi di jalanan.
Dalam dunia sastera pula, senario Malaysia Baharu masih belum berkembang. Malah, lain pula fiil makrifatnya.
Aktiviti sastera sama ada dikendalikan agensi kerajaan mahu pun NGO masih ditakuk lama. Agenda dan pengisian diskusinya langsung tidak berbeza. Tema bahan perbincangan masih kuno dengan topik-topik minda beku seakan-akan negara ini masih wilayah zombie yang tepu.
Sasterawan masih bercakap soal teori yang basa basi dan masih mabuk mencari kemulukan moral dalam nilai intelek yang serba utopia.
Sastera masih tenggelam dalam membina moral akademik yang dianggap sebagai simbol tulen yang menjadi lambang kesempurnaan sifat sastera.
Hal rakyat dan kritikan politik daripada perspektif sasterawan masih terabai. Sastera Malaysia Baharu masih dibungkus agenda lama. Forum, seminar dan perbahasan sastera masih melingkar dalam ego diri para sasterawan yang mabuk mengejar minda genius.
Sasterawan masih tergila-gila mencari jalan untuk dipuja-puja kerana resepi inteleknya. Bukan kerana agenda negara bangsa dan pembelaan terhadap masyarakat dalam membina Malaysia Baharu.
Meskipun wujud kebebasan, sasterawan masih mempergunakan platform sastera untuk agenda diskusi gaya lama. Heboh mempromosi masalah gila talak terhadap sindrom keilmuan. Atau, sibuk mengejar desakan minda egosentrik yang sempit dan terputus daripada nadi rakyat.
Selepas sepuluh bulan Malaysia Baharu wujud, nahu perjuangan sasterawan masih berwajah lelaki tua yang tersadai di hentian bas tanpa menemukan hala tuju baharu.
Jadi, forum dan seminar sastera masih asyik berteriak ke jalan raya dengan kegilaan sasterawan untuk menjadikan karya seni sebagai bahan ilmuan yang mesti diangkat sebagai simbol intelektual.
Sejenis kegilaaan yang bahasa mudahnya: “Hei sasterawan… apa kejadahnya ini semua!”
Kisah sahabatnya saya yang bingung untuk menyanyi di pentas politik serta rakan sasterawan yang pengap dan masih belum mahu melihat realiti mengisi tanggungjawab sebenar pembaharuan negara, adalah dua stigma seni yang berbeza.
Kawan penyanyi jalanan saya masih berfikir soal naratif masa depannya sekiranya berada di pentas politik pembangkang akan mungkin secara sengaja ditafsir sebagai anti kerajaan PH.
Tapi, rasanya ketakutan itu lebih berbaloi daripada teman sastera yang nampaknya sedang lena di gua dan tidak pernah bangkit-bangkit dari tidur pengapnya!
Sasterawan sampai hari ini masih memilih untuk meneruskan kehidupan selesa dalam minda syok sendiri. Mabuk todi dengan agenda intelek serba palsu kerana enggan bertanggungjawab memperjuangkan soal rakyat dan negara – sekali pun Malaysia Baharu meraikan suara seni yang lebih agresif dan dinamik.
Namun, itulah realitinya. Rakan penyanyi jalanan sedang menghitung risiko. Manakala, rakan sasterawan nampaknya kekal bersikap seperti sida yang bacul. – 6 Mac, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen