Amnesty tuduh Mesir lancar serangan siber ke atas aktivis hak asasi


Serangan itu dilakukan menerusi email memperdaya aktivis memuat turun perisian risikan, didakwa didalangi kerajaan. – Gambar EPA, 6 Mac, 2019.

AMNESTY International hari ini memberi amaran yang berpuluh orang aktivis hak asasi di Mesir diletakkan dalam keadaan “berbahaya” selepas serangan “pancingan data” email yang didakwanya didalangi kerajaan.

“Berpuluh pembela hak asasi Mesir jadi sasaran serangan pancingan data…tahun ini, meletakkan mereka dalam keadaan berbahaya,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

“Serangan digital ini nampaknya adalah sebahagian daripada kempen berterusan untuk menakut-nakutkan dan mendiamkan pengkritik dilakukan kerajaan Presiden Abdel Fattah al-Sisi,” kara Ramy Raoof, pakar taktikal teknologi Amnesty.

Kumpulan hak asasi berpangkalan di London itu berkata cubaan serangan “menakutkan” itu menggunakan teknik dikenali sebagai Oauth dan wujud “petunjuk jelas” yang pihak berkuasa Mesir bertanggungjawab.

Katanya, teknik itu berselindung di sebalik email mengandungi aplikasi yang sah- seperti kalendar penganjuran- untuk memperdaya aktivis memuat turun perisian risikan.

Amnesty mendedahkan wujud peningkatan cubaan Oauth menjelang sambutan ulang tahun penyingkiran Hosni Mubarak pada 25 Januari 2011, dan ketika lawatan dua hari Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Mesir.

Katanya, serangan memuncak pada 29 Januari, hari Macron bertemu aktivis hak asasi daripada empat NGO utama Mesir.

Kerajaan Sisi sedang melancarkan operasi ketenteraan kepada pengganas IS di utara Sinai.

Sebagai ketua tentera, Sisi mengetuai penyingkiran presiden pertama Mesir dipilih menerusi pilihan raya, Mohamed Morsi pada 2013 selepas bantahan jalanan besar-besaran berlaku menentang pemerintahan Morsi yang Islamik.

Tetapi selain operasi membanteras penyokong tegar Islamist, Amnesty dan kumpulan hak asasi lain berulang kali menuduh Sisi juga menekan aktivis sekular, liberal dan haluan kiri. – AFP, 6 Mac, 2019.
 

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen