LANGSUNG: Siasatan aktivis hilang hampir menemui jawapan


Noel Achariam

Hari ini Suhakam mengadakan sesi meminta penjelasan berkaitan hujah dihantar peguam keluarga Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat yang hilang sejak dua tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2019.

PEGUAM akan menghantar hujah lisan mereka hari ini kepada panel siasatan Suhakam mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat, walaupun mereka tidak akan mempunyai petunjuk jelas mengenai lokasi atau nasib kedua-dua aktivis yang hilang itu.

Selepas pendengaran awam yang berlaku lebih setahun, dan 40 saksi dipanggil memberi keterangan, siasatan itu gagal menemui kesimpulan memuaskan tentang apa yang berlaku kepada dua aktivis berkenaan yang sudah dua tahun hilang.

Hari ini, peguam mewakili kedua-dua keluarga akan menghantar hujah sama ada wujud perkara meragukan dan sekiranya wujud unsur kehilangan paksa atau penglibatan pihak berkuasa dalam kes tersebut. 

Koh dilaporkan diculik pada 13 Februari 2017 di Petaling Jaya oleh sekumpulan lelaki berkereta, sementara Amri pula hilang pada 24 November 2016.

Koh, ketika kehilangannya, didakwa sedang disiasat kerana cuba menukar agama orang Islam kepada Kristian, sementara pihak berkuasa mengesyaki Amri menyebarkan ajaran Syiah menerusi badan kebajikan diuruskannya, Perlis Hope.

Siasatan polis terhadap kehilangan mereka juga menemui jalan buntu.

Siasatan Suhakam juga berdepan beberapa halangan termasuklah saksi hilang dan pendengaran ditangguh.

Ketika prosiding kehilangan Amri, Saiful Afdzan, pemilik restoran di Perlis yang mendakwa melihat aktivis itu tidak hadir walaupun dipanggil panel siasatan.

Polis juga gagal mengesan seorang lagi saksi, pemilik kereta Toyota Vios warna emas, dipercayai terlibat dalam penculikan Amri.

Keluarga aktivis berkenaan bimbang yang pihak berkuasa gagal dalam siasatan mereka serta tidak menemui sebarang bukti baharu dalam kehilangan itu.

Pada 13 Februari lalu, keluarga Koh dan Amri menuduh polis terlibat dalam kehilangan mereka.

Mereka menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa pertemuan diadakan supaya mereka boleh menceritakan kisah mereka dan alasan mengapa mereka percaya polis terlibat dalam kehilangan kedua-dua aktivis itu.

Panel seterusnya akan mula menyiasat kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth bagi mengenalpasti sama ada kehilangan mereka adalah kes kehilangan paksa.

The Malaysian Insight membawakan lintas langsung prosiding hari ini:

2.15pm: Mah menyoal pemerhati polis yang menemui barangan di rumah suspek.

Pemerhati polis mengatakan bahawa pasukan pertama menemui barang-barang yang ditunjukkan oleh Hazril.

Mah menyoal selain daripada Hazril, siapa lagi yang pergi ke rumah suspek.

Polis mengatakan bahawa skuad bom juga turut bersama dengan pasukan tersebut.

Mah bertanya lagi adakah pegawai polis Selangor SAC Fadzil Ahmat dan DSP Supari Muhammad pergi ke rumah suspek seperti yang didakwa oleh Khalid.

Dia menjawab tidak dan berkata bahawa mereka pergi ke Pengkalan Hulu untuk bertemu Huzir bagi mendapatkan bukti.

Mah berkata Suhakam akan menyerahkan keputusan mereka pada 3 April depan.

1.45pm: Gomez berkata bahawa teori beliau adalah pihak polis telah membuat kesimpulan bahawa suspek mati dan isterinya tidak berada di rumah sehingga menyebabkan bukti ditanam.

Beliau berkata serbuan ke atas rumah suspek itu dilakukan selepas penyeludup manusia yang dituduh mati ditembak.

“Pasukan pertama, Stafoc, tidak dapat menemui bukti mengenai Koh, maka pasukan itu menghantar pasukan lain satu minggu kemudian dan mereka mendapati bukti mengenai Koh.

“Item itu juga tidak ditambah pada senarai carian dan apabila kedua-dua senarai yang dihasilkan, ia mempunyai tulisan tangan yang berbeza tetapi dilakukan oleh pegawai yang sama.”

1.15pm: Peguam keluarga Koh Jerald Gomez mendakwa polis meletakkan bukti dalam rumah suspek yang terbunuh.

Katanya, ada percanggahan bukti yang dikumpul seperti didakwa bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dan ketua Stafoc Hazril yang merupakan pasukan pertama melakukan kerja mencari di rumah suspek.

Gomez berkata dalam keterangan Khalid sebelum ini, polis menemui gambar Koh, rumah dan kenderaan malah plat nombor kereta Koh di rumah suspek.

Menurut Khalid, kata Gomez lagi, bukan sahaja gambar dijumpai tetapi juga plat nombor kereta Koh.

Gomez berkata, Hazril dalam keterangannya berkata beliau menemui bukti itu tetapi Khalid berkata bukti ditemui Jabatan Jenayah Berat Bukit Aman.

12.50pm: Gurdial berkata panel tidak wajar menolak kenyataan Norhayati untuk kes Koh.

“Tidak ada prejudis kerana tiada sesiapa dipersalahkan. Kami hanya cuba membentuk bukti.

“Beliau (Norhayati) juga berkata Amri diculik oleh pasukan sama yang mengambil Koh.

“Untuk semua sebab ini, penting untuk diterima bukti ini.”

12.35pm: Penjelasan penghujahan diteruskan dengan kes Pastor Raymond Koh.

Peguam keluarga Koh Gurdial Singh Nijar berkata kenyataan Norhayati boleh digunakan untuk kes Koh kerana prosiding itu adalah siasatan dan bukannya kes jenayah.

“Katanya, Amri dalam pemantauan dan begitu juga Koh apabila beliau diarah berhenti ketika pemeriksaan.

“Beliau juga berkata yang Koh diambil (diculik) kerana beliau berdakwah (menyebarkan ajaran Kristian) dan Amri terlibat dalam ajaran menyimpang.”

11.50am: Pemerhati polis kemudian diminta menjelaskan mengenai keterangan bahawa isteri Amri, Norhayati Arifin memberitahu kepada Sarjan Shamzaini Mohd Daud yang suaminya diculik oleh Bukit Aman.

Polis berkata mereka menafikan kenyataan Norhayati dan tuntutan terhadap Shamzaini.

Peguam Majlis Peguam Mansoor Saat kemudian berkata kenyataan Norhayati dipengaruhi oleh anak perempuannya.

“Tidak mungkin Norhayati merosakkan keterangan saksi.

“Tidak mungkin untuk seorang pegawai polis membelanjakan dua jam di rumah wanita Melayu Islam sewaktu suaminya hilang.

“Jadi keterangannya boleh diterima.

Siasatan berehat sebentar.

11.35am: Mah menjelaskan kepada polis apabila mereka menjawab soalan, mereka akan teringat pelbagai isu lain.

“Kami tidak berada dalam jaket ketat. Polis boleh ulas sebarang isu.

“Mungkin pemerhati polis tidak mengikuti acara ini. Soalan ini tidak mengejutkan langsung.

“Kami perhatikan apa yang anda katakan.

11.25am: Pemeriksa polis kemudian mengatakan mereka tidak bersedia menjawab sebarang pertanyaan tambahan yang disampaikan oleh Morais.

Polis berkata mereka hanya bersedia menjawab tiga soalan yang sebelum ini diserahkan oleh panel.

“Kami terkejut dan tidak bersedia menjawab soalan tambahan secara terperinci.

“Kami perlukan masa untuk menjawabnya,”

11.15am: Morais kemudian membangkitkan isu pemilik Toyota Vios berwarna emas yang hilang.

Menurut apa yang kita dapat ialah dia hilang tanpa jejak.

“Dia pekerja kontrak di Pulapol selama 18 tahun dan dia memutuskan untuk tidak bekerja.

Mah kemudian bertanya di mana Saiful Bahari dan apa yang berlaku terhadap Toyota Vios.

Morais berkata kereta itu berada di Pulapol tetapi sekarang mereka tidak tahu di mana ia berada.

10.55am: Satu lagi isu dibangkitkan Morais kepada panel adalah tentang kekurangan bukti forensik.

Katanya, proses pengumpulan bukti menerusi forensik juga tidak diperhati peguam.

“Tidak ada ujian forensik serius dilakukan ke atas kereta Amri.

“Mereka buat dan andaikan yang hanya Amri berada dalam kereta itu.”

Morais juga menambah, menurut polis tidak ada cap jari jelas ditemui, malah cap jari Amri yang ditemui juga tidak jelas. 

“Isunya di sini adalah siapa yang jalankan kerja mencari (forensik) dalam kereta dan tidak ada usaha jelas melakukannya.”

10.30am: Salah satu perkara penting dibangkitkan Morais ketika penghujahan adalah bagaimana Amri diculik.

Katanya, ketika kereta Amri dikepung ia kelihatan seperti taktik yang mungkin digunakan polis.

Morais berkata Saiful adalah saksi penting untuk menjelaskan perkara ini.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Saiful hanya ditemubual setahun selepas kejadian.

“Polis kata ia kes orang hilang.

“Ia bukan kes orang hilang tetapi kes penculikan.”

10.15am: Mah bertanya peguam keluarga Amri David Morais untuk menjelaskan berapa ramai saksi yang menyaksikan pengasas Perlis Hope itu diculik.

Katanya, terdapat tiga orang saksi- Syed Amri seorang pejalan kaki, Saiful Afdzan seorang pemilik restoran di Perlis dan sepupunya.

Mah bertanya kepada pemerhati polis apa yang berlaku kepada Saiful dan sama ada mereka sudah berjaya mengesannya.

Polis berkata beliau sudah dipanggil ke mahkamah tetapi tidak hadir, jadi waran tangkap sudah dikeluarkan mahkamah.

Polis juga memaklumkan mereka masih tidak dapat mengesan Saiful.

10.00am: Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata mereka sudah meneliti semua hujah difailkan peguam.

Katanya, pendengaran hari ini dipanggil panel dengan matlamat meminta penjelasan dan tidak akan membuat sebarang keputusan.

“Bukanlah (peranan) panel untuk sampaikan sebarang keputusan. Kita akan tetapkan tarikh untuk keputusan menjelang akhir bulan ini.” – 6 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen