PENGASAS laman web dunia Tim Berners-Lee semalam berkata beliau dalam misi membetulkan masalah salah guna talian, salah maklumat dan perlindungan data, perkara yang tidak pernah dibayangkannya ketika mencipta sistem perhubungan maklumat dunia itu sebelum ini.
Berners-Lee, yang diberikan kredit mencipta web pada 1989, memberitahu Washington Post yang beliau sedang berusaha mendapatkan penyelesaian kepada masalah yang membarah dalam dunia dalam talian sekarang.
Pakar komputer Britain itu berkata beliau sedang menumpukan usahanya kepada dua perkara- satu dikenali sebagai “Kontrak Web” bagi memastikan integriti maklumat dalam talian, dan platform pembangunan dikenali sebagai “Solid” untuk memberikan kawalan kepada pengguna ke atas data mereka.
Kenyataan itu dikeluarkan menjelang ulang tahun ke-30 web dan kebimbangan yang semakin memuncak sistem perkongsian maklumat itu kini dijarah pihak yang ada agenda tersembunyi dan berniat jahat.
Berners-Lee juga menggesa penglibatan semua pihak untuk menyertai “Kontrak”, projek yang didedahkan November lepas, yang akan melibatkan penglibatan kerajaan, syarikat teknologi dan pihak lain bagi mewujudkan prinsip tadbir urus dalam talian.
“Awak tak boleh haramkan berita palsu begitu sahaja, ia lebih rumit,” katanya pada wawancara di Ibu Pejabat Washington Post.
“Kontrak Web adalah tentang meletakkan pembetulan di pertengahan jalan, perubahan momentum, untuk kembali kepada konstruktivisme, kembali kepada sains, fakta.”
Berners-Lee juga berkata beliau melancarkan projek Solid sebagai responds kepada kebimbangan yang data peribadi dibeli dan dijual tanpa kebenaran pemiliknya.
Katanya, platform itu bertujuan “untuk memisahkan aplikasi daripada simpanan data” supaya pengguna boleh memutuskan di mana dan bagaimana mereka akan berkongsi maklumat peribadi mereka.
“Solid akan jadi simpana data unik yang memberikan kawalan kepada orang ramai tentang data mereka,” katanya.
Sistem itu sedang dibangunkan di Massachusetts Institute of Technology bertujuan memberikan “pods” data kepada pengguna yang boleh dimuatnaik kepada perkhidmatan lain seperti Facebook, Amazon atau Google, tambahnya.
“Awak boleh ada pod peribadi, awak boleh ada pod kerja,” katanya.
“Awak sekarang ada akses kepada lebih banyak data tentang diri sendiri berbanding apa yang Amazon ada sekarang.”
Dua projek berkenaan diumumkan tahun lepas apabila Berners-Lee meluahkan kebimbangan yang ciptaannya kini “dijarah penyangak” yang mungkin membinasakan. – AFP, 6 Mac, 2019.
Komen