STESYEN radio utama di Quebec, Kanada menarik siaran semua lagu Michael Jackson selepas pendedahan sebuah dokumentari membangkitkan semula tuduhan pedofilia ke atas mendiang penyanyi lagenda itu, kata wakil kepada AFP semalam.
Jurucakap kepada Cogeco- yang mengendalikan 22 radio di seluruh Quebec dan sebuah stesyen di Ontario- berkata keputusan itu dibuat selepas dokumentari Leaving Neverland disiarkan pada Ahad menerusi saluran kabel HBO.
Filem berdurasi empat jam itu mendedahkan secara terperinci kisah dua lelaki yang mendakwa Jackson- yang meninggal hampir sedekad lalu- mendera mereka secara seksual bertahun lamanya ketika mereka masih kanak-kanak.
“Kami sangat prihatin terhadap komen pendengar kami, dan dokumentari disiarkan malam Ahad lalu mencetuskan reaksi,” kata Christine Dicaire daripada Cogeco dalam satu kenyataan kepada AFP.
“Kami mahu meneliti situasi dengan membuang lagu (Jackson) daripada stesyen kami buat masa sekarang.”
Stesyen utama termasuklah CKOI dan Rythme yang berbahasa Perancis dan The Beat saluran Bahasa Inggeris sudah berhenti menyiarkan lagu Jackson.
Dicaire tidak menjelaskan sama ada keputusan itu hanya terpakai kepada karya solo Jackson atau turut meliputi karya The Jackson 5, kumpulan dibintangi penyanyi ternama itu ketika kanak-kanak bersama-sama adik beradiknya.
Tuduhan seksual itu kembali timbul hampir sedekad selepas Jackson meninggal dunia kerana salah guna dadah pada 2009.
Di Britain, Leaving Neverland dijadualkan ditayangkan pada Rabu dan Khamis di Channel 4, laporan menyebut yang BBC turut memadamkan karya bintang itu termasuklah lagu terkenal Billie Jean dan Thriller menjelang tayangan filem itu.
Tetapi, dalam satu kenyataan kabur, BBC berkata “kami mempertimbangkan setiap karya musik berdasarkan merit dan keputusan apa yang dimainkan kami dalam rangkaian berbeza sentiasa dibuat berdasarkan kesesuaian khalayak dan konteks.”
Jurucakap rangkaian itu memberitahu AFP yang ia tidak mengharamkan artis. – AFP, 6 Mac, 2019.
Komen