Hadiah Nobel Sastera 2018 dan 2019 akan diumum serentak


Pemenang Hadiah Nobel Sastera 2018 dan 2019 akan diumumkan serentak pada musim luruh tahun ini. – Gambar AFP, 6 Mac, 2019.

HADIAH Nobel Sastera 2018 yang ditunda tahun lepas selepas skandal tercetus, akan diumumkan pada musim luruh tahun ini bersama-sama pemenang 2019, kata penganjur Yayasan Nobel semalam. ‘

Pengumuman penangguhan pemenang tahun lepas itu berlaku selepas suami seorang ahli Akademi Sweden, yang juga tokoh penting kesusasteraan Sweden dituduh melakukan jenayah seksual. Akademi Sweden adalah organisasi yang memilih pemenang Hadiah Nobel Sastera.

Disember lepas, mahkamah Sweden menyabitkan warga Perancis Jean-Claude Arnault, 72, atas dua tuduhan rogol, memenjaranya selama dua setengah tahun. Arnault sudah membuat rayuan kepada Mahkamah Agung.

Sepanjang skandal itu, beberapa ahli Akademi Sweden meletak jawatan ketika wujud perbezaan pendapat antara mereka yang bengang dan kecewa dengan kelakuan Arnault dan mereka yang dituduh gagal mendedahkan jenayahnya.

Sejak beberapa bulan lepas, akademi itu perlahan-lahan menerima ahli baharu, mengubah sebahagian peraturannya dan memastikan semua kaitan dengan skandal itu dengan panel pemilihan Nobel dihapuskan.

Arnault juga sudah berundur daripada jawatankuasa itu.

Satu kenyataan berasingan daripada Yayasan Nobel berkata: “Secara keseluruhannya, sepanjang tahun lepas Akademi Sweden sudah mengambil beberapa langkah penting untuk menangani masalah yang timbul hujung 2017 dan lebih banyak sedang dirancang.

“Walaupun akan mengambil masa untuk mengembalikan keyakinan sepenuhnya, Lembaga Pengarah Yayasan Nobel percaya keadaan sekarang adalah baik.” – AFP, 6 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen