SRI Lanka hari ini menaikkan kadar cukai ke atas arak, tembakau dan perjudian untuk menaikkan gaji penjawat awam dan pinjaman bersubsidi bagi perniagaan kecil menjelang pilihan raya hujung tahun ini.
Menteri Kewangan Mangala Samaraweera memperkenalkan cukai masuk AS$50 ke atas kasino dan menggandakan cukai dari industri itu.
Samaraweera menaikkan cukai ke atas kereta bersaiz kecil buatan Jepun popular minimum 20% dan memperkenalkan cukai baharu karbon ke atas semua kategori kenderaan kecuali kerera elektrik.
Bagaimanapun, menteri itu mengumumkan kenaikan gaji minimum 2,500 rupee (AS$15) sebulan bagi 1.5 juta penjawat awam , termasuk menaikkan pencen.
Beliau turut mengumumkan pinjaman subsidi khas bagi perniagaan kecil dan pinjaman perumahan yang murah bagi pasangan yang baru berkahwin.
Langkah popular itu diambil menjelang pilihan raya presiden akhir tahun ini.
Krisis politik berlaku di Sri Lanka apabila Presiden Maithripala Sirisena memecat Ranil Wickremesinghe sebagai perdana menteri pada Oktober tahun lalu sehingga melumpuhkan ekonomi Sri Lanka, kata Samaraweera.
Wickremesinghe dilantik semula pada 16 Disember, sekali gus mengakhiri 51 hari krisis politik negara itu. – AFP, 5 Mac, 2019.
Komen