TIDAK sampai sebulan sahaja lagi moratorium ke atas perlombongan bauksit akan berakhir, kumpulan aktivis alam sekitar menyelar Putrajaya kerana kurang beri maklumat mengenai prosedur operasi standard baru (SOP) apabila aktiviti perlombongan bermula dan pendengaran awam mengenai isu tersebut.
Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menerusi surat bertarikh 25 Februari telah meminta Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli memberi butiran mengenai SOP baharu supaya semakan dan maklum balas boleh diberi kepada kementerian terbabit.
Bagaimanapun, mereka masih belum menerima sebarang respons dari kementerian.
SAM dan Peka tidak yakin SOP baharu itu akan membawa penyelesaian kepada pencemaran alam sekitar dan masalah kesihatan akibat perlombongan bauksit.
“Kami tak yakin SOP itu akan beri penyelesaian. Kami tak jelas mengenai apakah kesan undang-undang SOP itu,” kata Setiausaha Kehormat SAM Meena Raman kepada The Malaysian Insight.
“Adakah ia akan jadi garis panduan atau boleh dikuatkuasakan secara sah jika mereka (pengendali) langgar SOP, apa yang akan berlaku?
“Kami ragu-ragu mana-mana SOP akan berkesan. Kami setuju dengan bekas menteri yang katanya ini bukan masalah tiada undang-undang, tetapi tidak mematuhi undang-undang. Inilah isunya.”
Beliau juga mempersoalkan mengenai langkah penguatkuasaan yang akan diambil.
Industri bauksit katanya, perlu dikawal memandangkan pernah berlaku aktiviti perlombongan haram sebelum ini.
Penilaian terhadap kesan alam sekitar juga perlu dijalankan sebelum moratorium ditarik semula, kata Meena.
Kerajaan terdahulu memutuskan untuk mengenakan moratorium selama tiga tahun selepas mengambil kira kesan perlombongan bauksit yang membahayakan kesihatan dan alam sekitar.
Meena berkata beliau hanya mengetahu satu pendengaran awam akan diadakan untuk berunding dengan pihak berkepentingan dan SOP baharu itu baharu melalui laporan berita.
“Kami tak dimaklumkan. Kami hanya dapat tahu dari berita. Kalau menteri mahu mahu libatkan diri sekarang, tak apa, lebih baik sebelum terlambat…itu yang penting tetapi ia tidak boleh hanya satu-satunya penglibatan untuk kepentingan awam.
“Beliau mesti ambil serius mengenai alam sekitar dan kesihatan awam.”
Turut senada dengan Meena, Presiden Peka Shariffa Sabrina Syed Akil berkata kementerian sepatutnya memaklumkan pihak-pihak berkepentingan lebih awal mengenai pendengaran awam, dan setakat ini tiada sebarang tarikh diberikan.
“Masalahnya dengan mereka ini ialah kadang-kadang mereka beritahu kami pada saat-saat akhir, bila tak ramai orang boleh hadir. Kalau mereka mahu adakan pendengaran awam, mereka mesti berikan satu tarikh, sebulan atau dua bulan lebih awal. Dengan cara itu, orang ramai boleh rancang masa untuk hadir.”
Katanya lagi, libat urus sepatutnya diadakan sebelum keputusan membatalkan moratorium dibuat. Ia perlu melibatkan pihak berkepentingan seperti NGO dan penduduk tempatan.
Shariffa berkata walaupun wujud SOP, persoalan yang timbul adalah sama ada operator akan mematuhinya.
“Kami sangat marah sekarang kerana mengapa moratorium dibatalkan kerana bauksit mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan, sosio-ekonomi dan alam sekitar. Sudah ada kes kematian dan lemas kerana perlombongan bauksit.”
SAM dan Peka berkata mereka pasti terlibat dalam libat urus sekiranya dimaklumkan.
Kementerian dalam satu kenyataan pada 23 Februari lalu berkata sesi pendengaran awam dan libat urus untuk meningkatkan SOP pengurusan lombong dan eksport bauksit di Pahang akan diadakan.
Proses itu akan diadakan sebelum 31 Mac dan akan mengambil kira kepentingan semua pihak serta pergerakan masyarakat sivil yang terlibat memperjuangkan alam sekitar.
The Malaysian Insight masih menunggu maklum balas daripada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail. – 6 Mac, 2019.
Komen