PIHAK berkuasa Israel melarang 133 rakyat Palestin memasuki Masjid Al-Aqsa pada Februari lalu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik laporan sebuah badan bukan kerajaan Palestin.
Dalam laporan terkininya, Pusat Maklumat Wadi Hilweh yang berpangkalan di Baitulmaqdis berkata Sheikh Abdul-Azim Salhab yang mengetuai Majlis Wakaf Baitulmaqdis dan Sheikh Najeh Bkerat merupakan timbalan pengarah Wakaf Islam dan Hal Ehwal Al-Aqsa adalah antara mereka yang dilarang memasuki pekarangan masjid itu.
Pada Ahad, Salhab dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa selama 40 hari manakala Bkerat dilarang berbuat demikian selama empat bulan.
Larangan itu diumumkan seminggu selepas polis Israel menahan kedua-dua lelaki dalam tempoh singkat selepas menyerbu kediaman mereka di Baitulmaqdis.
Sejumlah 229 orang turut diberkas pada bulan sama, menurut laporan itu.
Ketegangan memuncak di Baitulmaqdis sejak lewat bulan lepas apabila Israel menutup Masjid Al-Aqsa yang terletak bersebelahan dinding Kota Lama Baitulmaqdis sekali gus mencetuskan demonstrasi penuh berang rakyat Palestin.
Bagi umat Islam, Al-Aqsa merupakan tempat ketiga paling suci di dunia selepas Makkah dan Madinah.
Orang Yahudi merujuk kawasan itu sebagai Gunung Kuil dan mendakwa ia adalah tapak dua kuil Yahudi pada zaman purba.
Israel menduduki Baitulmaqdis Timur di mana Al-Aqsa berada semasa Perang Arab-Israel pada 1967.
Ia menduduki seluruh bandar itu pada 1980 dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. – Bernama 5 Mac, 2019.
Komen