SUSULAN timbul gesaan supaya beliau menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menyeru ahli parti supaya bertenang dan menghormati perjanjian Pakatan Harapan (PH).
“Saya akan nasihatkan ahli-ahli parti (PKR) dan wakil rakyat supaya hormat semangat Pakatan dan sokong Dr Mahathir sebagaimana yang telah dipersetujui,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu hari ini.
Semalam, Adun Batu Uban Kumaresan Aramugam mengesa Anwar menggantikan Dr Mahathir selepas PH kalah pada Pilihan Raya Kecil Semenyih.
Beliau berkata ini membolehkan PH mendapat semula kepercayaan rakyat.
“Anwar patut jadi perdana menteri, seperti yang dipersetujui, demi masa depan gabungan.
“Dengan pengalaman beliau sebagai bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, saya percaya beliau mampu melaksanakannya,” kata ketua Pemuda Bayan Baru itu.
Anwar hari ini juga menepis kebimbangan sekiranya Umno dan PAS bergabung.
“Tak semua orang Melayu berada dalam Umno dan PAS. Dalam Bersatu dan PKR pun ramai juga.
“Apa yang penting ialah bukan hanya menyatukan orang Melayu, tetapi bagaimana mempertahankan kedudukan Islam, memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dan melindungi kepentingan kaum lain.
“Pendekatan yang PH ambil adalah yang betul dan boleh selesaikan masalah rakyat, tak kira mereka orang Melayu atau bukan Melayu, yang berada dalam kumpulan B40.”
Jelasnya, apa yang lebih penting ialah tadbir urus yang baik.
“Majoriti yang miskin adalah Melayu, jadi tak perlu tekankan perkara ini,” kata Anwar selepas menghadiri Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen hari ini. – 5 Mac, 2019.
Komen