Musa Aman mengaku tak bersalah ubah wang haram RM150 juta


Bede Hong

Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman didakwa dengan beberapa lagi pertuduhan tambahan berhubung kesalahan pengubahan wang haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2019.

BEKAS ketua menteri Sabah Musa Aman mengaku tidak bersalah atas 16 lagi tuduhan kes pengubahan wang haram melibatkan AS$37 juta (RM150.9 juta).

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan. Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Musa dituduh melakukan kesalahan antara Jun 2006 dan Mac 2008, di cawangan bank UBS di Hong Kong dan Singapura.

Dalam pertuduhan pertama, Musa dituduh mengarahkan Richard Christopher Barnes membuka akaun bank dengan UBS AG di Singapura pada 21 Jun 2016.

Pertuduhan alternatif mendakwa Barnes menggunakan akaun itu untuk menyembunyikan wang haram daripada Musa.

Dalam pertuduhan kedua hingga ke-15, Musa dikatakan menerima lebih AS$37 juta daripada pelbagai individu dan syarikat antara 21 Jun 2006 dan 25 Mac 2008 melalui akaun Barnes.

Transaksi tunggal terbesar ialah AS$16.15 juta.

Dalam pertuduhan ke-16, Musa didakwa mengarahkan Barnes memindahkan semua asetnya dan aliran masuk akan datang ke dalam akaun bank di Switzerland pada 14 Mei 2008.

Tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayub.

Pada 5 November lalu, Musa didakwa atas 35 pertuduhan rasuah berjumlah AS$63.3 juta (RM263 juta) melibatkan kontrak konsesi balak di Sabah.

Kes itu melibatkan kontrak lapan pemilik syarikat konsesi balak.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama. – 5 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen