Selepas bertahun menunggu, akhirnya yang layak dapat tawaran PPR Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Pulau Pinang sedang melaksanakan siasatan besar-besaran ke atas kelayakan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi mengenalpasti mereka yang sudah hilang kelayakan tetapi masih tinggal di situ, atau menjadikannya rumah sewa, tindakan tidak bertanggungjawab untuk skim sepatutnya membantu golongan miskin tegar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2019.

SELAMA 19 tahun, buruh kasar Mohd Jamal Madar menanti-nanti unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewa di Pulau Pinang.

Sepanjang tempoh itu, lelaki yang kini sudah berusia 68 tahun kehilangan isterinya kerana penyakit kencing manis dan dua daripada empat anaknya juga meninggal dunia. Setelah semua ini berlaku, barulah sekarang beliau mendapat tawaran menyewa sebuah unit PPR di George Town.

“Saya ingat saya akan mati menunggu unit untuk saya,” katanya kepada wartawan di Jabatan Perumahan Negeri hari ini.

Pagi tadi, Jabatan Perumahan Negeri bertemu dengan sekumpulan pemohon yang sudah lama menunggu seperti Jamal; untuk menawarkan mereka unit rumah di flat PPR Taman Manggis, di mana sewa dan kos penyelenggaran hanyalah RM128 sebulan.

Unit tersebut akhirnya boleh diduduki pemohon lama seperti Jamal, susulan keputusan pihak berkuasa mengusir 22 penyewa, yang menduduki rumah yang sepatutnya untuk golongan miskin tegar apabila siasatan mendapati mereka sudah keluar daripada kumpulan itu. Mereka diberikan tempoh sehingga esok untuk berpindah.

“Saya menyewa sebuah flat di Paya Terubong dengan sewa RM500 sebulan. Saya tinggal dengan anak lelaki saya yang tak boleh bekerja kerana penyakit jantung.

“Saya ditemuduga beberapa kali selama ini tetapi tak pernah dapat tawaran. Saya betul-betul ingat saya tidak akan dapat unit PPR,” kata Jamal.

Tawaran PPR Taman Manggis juga melegakan Chew Kim Choo, 76, yang memerlukan tempat berlindung secepat mungkin kerana rumah kampung yang disewanya di Perak Lane akan dirobohkan untuk projek pembangunan.

Beliau memohon unit PPR pada 2003. Beliau dan anak lelakinya terpaksa berpindah beberapa kali kerana rumah yang mereka sewa sebelum ini dirobohkan untuk pembangunan.

“Rumah yang kami duduki sekarang akan dirobohkan tahun ini. Kami tak tahu tarikh sebenar.

“Jadi, dapat tawaran ini melegakan, walaupun saya tak tahu bila saya boleh berpindah lagi,” katanya, menambah yang beliau juga tidak mampu menyewa di tempat lain.

Chew tidak lagi bekerja dan dua anak lelakinya adalah buruh kasar.

Manakala, pekerja pencucian Zainal Abidin Sheikh Dauh, 55, pula menunggu sejak 2013 untuk mendapat unit PPR.

Sebelum ini, keluarganya terpaksa berhimpit di sebuah flat satu bilik di Taman Free School. Oleh kerana tempat itu terlalu kecil, anak-anaknya yang berusia awal 20-an terpaksa tinggal dengan datuk dan nenek mereka.

“Yang bongsu, enam tahun, tinggal dengan saya dan isteri. Kami terpaksa.

“Sebelum Taman Free School, kami tinggal bersama abang ipar. Bila dia tak boleh beri kami tumpang lagi, kami berpindah ke Taman Free School empat tahun lalu.”

Skim sewa PPR, kata Exco Perumahan Negeri Jagdeep Singh Deo, adalah untuk membantu mereka yang tak mampu membeli rumah kos rendah atau sederhana.

Rumah kos rendah berharga sekitar RM42,000 manakala rumah kos sederhana berharga RM72,500.

Tetapi, Jagdeep berkata skim PPR sekarang juga perlu disemak semula bagi membolehkan penyewa memiliki rumah tersebut.

Katanya, ini boleh membantu mengurangkan senarai panjang menunggu unit PPR di Pulau Pinang yang hanya mempunyai 999 unit PPR- terendah di negara ini.

Di bawah skim sewa dan beli tersebut, penyewa akan membayar sewa bulanan sehingga mereka habis melangsaikan harga rumah tersebut.

Di Pulau Pinang, skim pilot itu diperkenalkan di Jawi, Nibong Tebal beberapa tahun lalu. Menurut Jagdeep, unit yang terlibat dalam skim itu sudah hampir habis dijual.

“Kami ada dua lagi projek akan datang di Bukit Minyak dan Balik Pulau, yang kami sedang pertimbangkan untuk laksanakan skim sewa untuk beli ini.

“Projek di Balik Pulau akan ada 1,153 unit kos rendah. Kami boleh ambil separuh unit untuk skim sewa dan beli. Ia boleh membantu mereka yang berada dalam senarai menunggu PPR,” katanya. – 5 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen