SEORANG pelajar sekolah menengah AS yang mengambil suntikan vaksin sendiri walaupun mendapat bantahan ibu bapanya dijadualkan memberi keterangan di hadapan Kongres AS tentang peningkatan mendadak wabak penyakit boleh cegah pada Selasa.
Ethan Lindenberger berkata beliau membesar dalam “keluarga anti vaksin” tetapi memutuskan melanggar hasrat ibu bapanya dengan mendapatkan suntikan vaksin sendiri ketika berusia 18 tahun, usia dibenarkan undang-undang untuk membuat keputusan sendiri.
Keputusan remaja itu mendapat liputan meluas dunia ketika pakar kesihatan memberi amaran peningkatan kes demam campak – yang boleh dicegah dengan vaksin- dicetuskan konflik, keselesaan dan pergerakaan anti vaksin.
Lindenberger yang tinggal di Norwalk, Ohio hujung minggu lepas mengumumkan yang beliau dijemput untuk memberi keterangan kepada Senat AS pada Selasa tentang wabak penyakit boleh cegah.
Beliau dijadualkan berucap di hadapan Jawatankuasa Kesihatan, Pendidikan, Buruh dan Pencen Senat, bersama beberapa pakar kesihatan.
Terdapat 159 kes demam campak tahun ini di 10 negeri AS, menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC). Pada 2018, terdapat 372 kes.
Ibu bapa di 17 negeri diberikan pilihan untuk tidak mendapatkan suntikan vaksin untuk anak-anak mereka kerana alasan peribadi. Seringkali, alasan perubatan dan keagamaan digunakan untuk tidak mendapat suntikan vaksin.
Maklumat salah tersebar dalam media sosial juga merancakkan lagi gerakan anti vaksin di AS, dengan ramai mereka percaya dakwaan tidak berasas vaksin boleh menyebabkan autisme dan kesan negatif lain.
Pakar bertegas yang vaksin adalah selamat dan perlu untuk melindungi masyarakat daripada penyakit mudah berjangkit seperti campak.
“Emak saya tidak percaya vaksin bermanfaat untuk kesihatan dan keselamatan masyarakat, dan percaya ia menyebabkan autisme, kerosakan otak dan komplikasi lain,” kata Lindenberger dalam sebuah video dimuat naik ke YouTube hujung minggu lepas.
Sembilan puluh lapan negara melaporkan lebih banyak kes demam campak pada 2018 berbanding 2017. Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) berkata kes seluruh dunia meningkat hampir 50%, membunuh 136,000.
Wabak campak AS tercetus “dikaitkan dengan pengembara yang membawa wabak campak dari negara lain seperti Israel dan Ukraine, tempat wabak besar berlaku,” kata CDC.
Ia kemudian menjangkiti orang tidak mendapat suntikan vaksin, yang cenderung tinggal berhampiran satu sama lain. – AFP, 5 Mac, 2019.
Komen