IKON British Morrissey semalam mengumumkan akan mengadakan persembahan Broadway selama seminggu pada Mei ini, bintang rock terkenal itu akan berada di pentas di New York selepas Bruce Springsteen tahun lepas.
Penyanyi alternatif rock dan bekas penyanyi Smiths itu akan berlakon dalam pementasan dijadualkan bermula 2 hingga 11 Mei di Teater Lunt-Fontanne untuk karya yang disifatkan sebagai retrospektif kerjayanya, yang termasuklah persembahan albumnya akan datang, umum Morrissey, 59.
Album terbaru artis itu, California Son dijadualkan keluar pada 24 Mei dan akan meliputi karya terkenalnya sejak 1960-an hingga 70-an.
“Sebuah lagi tanda aras dalam sebuah kerjaya yang sudah mantap, peminat tegar Moz akan mendapat peluang yang jarang wujud menyaksikan bintang itu memasuki bidang baharu dan membuat persembahan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini,” kata kenyataan itu.
Persembahan Springsteen menjadi salah sebuah persembahan Broadway paling dinanti yang berlangsung lebih setahun, dengan jualan tiket mencecah AS$1000.
Persembahan itu yang sangat berjaya, diperbaharui beberapa kali, tamat pada pertengahan Disember lalu dan kini boleh ditonton di Netflix.
Morrissey, atau nama sebenarnya Steven Patrick Morrissey, pada musim panas lalu menangguhkan beberapa konsert jelajah Eropahnya selepas terjebak kontroversi kerana komen ditulisnya yang dianggap banyak pihak sebagai Islamfobia.
Penyanyi lantang bersuara itu- yang pertama kali dikenali dunia kerana menjadi penyanyi kumpulan alternatif rock ternama The Smiths pada 1980-an- juga merupakan penyokong kumpulan haluan kanan di Britain.
Beliau juga menjadi aktivis hak haiwan tegar, enggan membuat persembahan di tempat yang menyajikan hidangan daging. – AFP, 5 Mac, 2019.
Komen