PELAKON Luke Perry, yang terkenal menerusi drama hit era 1990-an, Beverly Hills, 90210, meninggal dunia pada usia 52 tahun selepas diserang angin ahmar, kata ejennya.
Perry dimasukkan ke hospital di Los Angeles minggu lepas, meninggal dunia ditemani anak-anaknya, Jack dan Sophie, tunangnya dan bekas isterinya, ibu bapanya, adik beradiknya dan keluarga dan rakan terdekat, kata ejennya Arnold Robinson kepada AFP.
“Keluarga menghargai sokongan dan doa tidak berbelah bahagi diberikan kepada Luke di seluruh dunia, dan meminta privasi diberikan untuk tempoh berkabung yang menyedihkan ini,” kata Robinson dalam satu kenyataan.
Ketika diserang angin ahmar Rabu lepas, Perry berada di Los Angeles untuk merakan siri televisyen terbarunya, Riverdale, adaptasi komik Archie. Beliau memainkan watak ayah Archie, Fred Andrews.
Beliau dimasukkan ke hospital pada hari sama Fox mengumumkan akan menerbitkan semula 90210, yang menampilkan enam pelakon asal siri tersebut termasuk Jason Priestley, Jenni Garth dan Tori Spelling- walaupun tidak ada pengesahan Perry, yang membawakan watak Dylan Mckay akan kembali ke siri tersebut.
Berita Perry dimasukkan ke hospital mendapat sokongan meluas rakan artis lain yang turut sama membintangi drama remaja terkenal itu.
Ketika berita kematiannya pecah, mesej sokongan bertukar menjadi berita menyedihkan untuk rakan artis lain.
“Sangat menyedihkan, saya akan sentiasa ingat awak Luke Perry,” kata Molly Ringwald di Twitter, bintang filem remaja era 1990-an seperti The Breakfast Club dan Sixteen Candles yang turut membintangi Riverdale bersama-sama Perry.
Perry, anak pekerja kilang besi dari Ohio, memainkan watak Dylan Mckay dalam siri Beverly Hills, menjadikannya terkenal di seluruh dunia.
Drama itu yang mempunyai 10 musim, mengisahkan kehidupan kumpulan remaja kaya di Los Angeles. Ia menjadi sensasi antarabangsa.
Perry meninggalkan drama itu pada 1995 untuk mengembangkan kerjaya di layar perak tetapi kembali tiga tahun kemudian.
Beliau juga berlakon dalam sebuah lagi siri remaja terkenal, Buffy the Vampire Slayed, selain memainkan peranan kecil dalam filem The Fifth Element yang turut dibintangi Bruce Willis.
Beliau juga muncul dalam sitcom Will & Grace dan Spin City, serta menawarkan suara dalam beberapa animasi termasuk The Simpsons.
Beliau berkahwin dengan Rachel Sharp pada 1993 dan mempunyai dua anak sebelum berpisah sedekad kemudian.
Anak lelakinya, Jack adalah pengusti profesional dengan nama pentas Jungle Boy. – AFP, 5 Mac, 2019.
Komen