Dr Mahathir tidak pernah masuk bilik forex di London, kata bekas pedagang BNM


Bede Hong Asila Jalil

Azman Mat Ali, bekas pengarah jabatan pengurusan mata wang asing dan operasi berkata Dr Mahathir Mohamad tidak dimaklumkan tentang kerugian forex pejabat perwakilan London dibuka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 September, 2017.

DR Mahathir Mohamad tidak pernah memasuki ruang urus niaga forex Bank Negara Malaysia (BNM) di London, kata bekas pedagang forex kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini.

Azman Mat Ali, 54, berkata pejabat pusat bank di London itu merupakan lokasi sebahagian besar urus niaga forex dijalankan.

Dalam kenyataannya, Azman berkata Dr Mahathir tidak dimaklumkan tentang kerugian forex apabila ia membuka pejabat perwakilan London.

Mohamed Haniff Kathri Abdulla, peguam Dr Mahathir, bertanya kepada Azman bagi mengesahkan yang upacara pembukaan berlaku sebelum Azman ditugaskan ke London.

“Saya tidak tahu. Saya tidak perlu tahu ... Itu bukan urusan saya,” jawab Azman kepada Haniff mengenai jumlah delegasi yang mengiringi Dr Mahathir dan berapa lama majlis itu berlangsung.

“Sepanjang anda melakukan urus niaga, di Kuala Lumpur, adakah anda bersetuju dengan saya yang Dr Mahathir, tidak pernah memasuki bilik dagangan itu?” tanya Haniff yang kemudiannya dijawab “tidak” oleh Azman.

Azman berkata semua pedagang forex berpangkalan di pejabat BNM di London perlu menjawab kepada ketua pedagang dan Nor Mohamed Yakcop, yang ketika itu menjadi pengurus jabatan perbankan dan penasihat bank pusat.

Walaupun beliau sedar bank itu mengalami kerugian besar dalam perdagangan forex pada awal tahun 1990-an, beliau berkata para pedagang tidak mengetahui jumlahnya dengan tepat dan percaya pihak atasan mengetahui apa yang mereka lakukan.

“Kami (pedagang) di bank, kami cuba melakukan yang terbaik. Kami cuba berkhidmat kepada Nor Mohamed. Kami membantunya. Kami akan buat apa sahaja untuknya.

“Jika kami tahu (apa yang kami lakukan) adalah salah, pada masa yang sama, kami pasti cuba mencari jalan untuk berbuat sesuatu,” kata Azman kepada RCI pada hari keenam pendengarannya.

Azman, yang menjawat sebagai pedagang forex dengan BNM dari 1988 hingga 1998, berkata tugasnya hanya melibatkan ia menghubungi pihak di Singapura, Tokyo, Sydney, London dan New York untuk melaksanakan transaksi seperti diarahkan ketua pedagang atau Nor Mohamed.

Beliau berulang kali berkata tiada siapa selain ketua pedagang dan Nor Mohamed yang mengetahui sejauh mana kerugian terlibat.

Ditanya mengapa bank pusat terlibat dalam perdagangan forex spekulatif, Azman menjawab: “Spekulasi adalah kesanggupan risiko yang sanggup diambil… spekulasi menjadi subjek perdebatan. Saya fikir soalan itu lebih sesuai untuk Nor Mohamed, bukan saya “.

Ditanya mengenai jumlah kerugian, Azman berkata: “Pada peringkat saya, kami tidak pernah mengetahui tahap kerugian. Tetapi untuk lebih selamat dikatakan, kerugian itu adalah besar.”

Beliau akhirnya mengakui kerugian perdagangan mungkin melebihi rizab bank pusat.

Azman berkata had pedagang adalah antara AS$5 juta dan AS$10 juta.

“Para pedagang perlu berdagang sendiri dan mematuhi had yang diluluskan dan had kerugian.”

Azman berkata had bagi ketua pedagang “lebih tinggi” tetapi tidak dapat memastikannya.

“Bagaimanapun, transaksi beli dan jual yang dilakukan pedagang bagi pihak pengurusan BNM adalah berdasarkan arahan yang diberikan ketua pedagang dan (Nor Mohamed) dan seingat saya, tiada had untuk transaksi tersebut,” katanya.

Azman berkata dagangan forex boleh mencapai “berbilion” dalam sebulan di bawah pedagang utama atau Nor Mohamed.

Selepas diasak oleh panel RCI Kamaludin Md Said, Azman memberi angka AS$1.5 bilion sebagai jumlah yang mungkin didagangkan dalam sehari. – 7 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen