PENCIPTA anak patung ‘Momo’, Keisuke Aiso mendedahkan beliau sudah memusnahkan patung itu tidak lama dahulu dan tidak berniat untuk mengundang kecederaan kepada sesiapa.
Imej ngeri patung Momo menjadi tular baru-baru ini hingga mencetuskan ‘cabaran Momo’ dalam kalangan kanak-kanak sehingga dilaporkan ada kes bunuh diri.
Menurut Aiso, patung yang diperbuat daripada silikon mempunyai ketinggian satu meter, dan kali pertama dipamerkan pada pameran hantu di Tokyo pada 2016, tetapi tidak menarik perhatian mana-mana pihak.
Kata pengarah syarikat LINK FACTORY yang menghasilkan prop untuk drama televisyen, imej ngeri patung itu diambil daripada hantu Jepun yang dikenali sebagai ‘ubume’ iaitu wanita yang meninggal dunia ketika melahirkan anak.
Momo merupakan antara hasil karya ngeri yang dicipta oleh Aiso.
Beliau mengakui patung itu dihasilkan untuk menakutkan orang tetapi tidak bermaksud mahu mencederakan sesiapa.
Aiso, 43, memusnahkan patung itu pada tahun lalu apabila keadaannya semakin merosot.
“Tiada kaitan dengan kes baru-baru ini,” katanya merujuk kepada kes ‘cabaran Momo’ yang mengundang kritikan banyak pihak kerana membahayakan nyawa kanak-kanak.
Satu laporan palsu tular menyatakan kanak-kanak dirasuk imej Momo untuk melakukan tugas berbahaya termasuk mencederakan diri sendiri dan membunuh diri.
Bagaimanapun tiada bukti mengatakan kejadian itu betul-betul berlaku dan ia dipercayai disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menakutkan golongan ibu bapa.
“Saya berasa lega jika mengetahui cabaran Momo tidak wujud,” kata Aiso. – AFP, 4 Mac, 2019.
Komen