Waspada dengan perangkap gabungan Umno, PAS, kata Anwar


Timothy Achariam

Presiden PKR Anwar Ibrahim berucap ketika merasmikan DNA23 hari ini. Turut hadir Menteri Multimedia dan Komunikasi, Gobind Singh Deo. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Mac, 2019

RAKYAT perlu sedar “realiti yang nyata” penggabungan Umno dan PAS yang dinilai oleh tindakan masa lalu yang penuh dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Rakyat tidak boleh mengabaikan realiti rasuah dan penyalahgunaan secara besar-besaran semasa tempoh tadbir urus mereka yang mana kerajaan sekarang di bawah Dr Mahathir Mohamad perlu selesaikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas laporan Umno dan PAS boleh menggunakan logo biasa pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan kerjasama mereka yang berjaya di Cameron Highlands dan pilihan raya kecil Semenyih.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata perkara itu akan dibincangkan di mesyuarat jawatankuasa konsultasi Umno-PAS bersama pada hari Selasa.

Anwar bagaimanapun menolak rancangan mereka, dengan mengatakan bahawa beliau tidak terlalu bimbang terhadap inisiatif mereka.

“Saya tidak terlalu bimbang dengan inisiatif mereka. Mereka seolah-olah digalakkan oleh keputusan satu pilihan raya kecil, mereka lupa bahawa mereka kehilangan banyak kerusi dalam PRU14 dan juga di Port Dickson,” katanya.

Beliau mengatakan bahawa Pakatan Harapan tidak sedar akan “realiti yang nyata” kehilangan kerusi Semenyih dan akan membuat penambah baik.

“Setakat ini PH komited terhadap agendanya, tentu saja (kita perlu) mengambil perhatian terhadap rungutan dan keprihatinan pengundi dan kita akan tambah baik,” katanya.

Beliau berkata, PH perlu berbuat lebih banyak untuk berhubung dengan rakyat dan bukannya berpaling dan menafikan janji mereka selepas satu kekalahan.

“PH mempunyai dasar yang telus untuk membantu rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Ini bukan isu kaum, dasar ekonomi kerajaan sebelumnya telah memberi faedah kepada golongan kaya dan yang korup,” katanya pada pelancaran DNA23 bersama Menteri Multimedia dan Komunikasi, Gobind Singh Deo.

DNA23 merupakan inisiatif yang dilancarkan untuk memacu negara ke arah era digital.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, dasar PH yang dilaksanakan mesti memberi manfaat kepada majoriti orang Melayu miskin dan juga kaum Cina dan India yang miskin.

Beliau juga berkata bahawa PH tidak berminat bermain isu kaum seperti Umno dan PAS.

“Mereka bercakap mengenai isu kaum sementara kami adalah kerajaan inklusif yang menampung kebajikan semua warganegara,” katanya.

Semasa ucapan kempen di Beranang, Semenyih, minggu lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional Nazri Aziz menuduh kerajaan PH menyerah hak Melayu kepada kaum lain.

Beliau juga mengkritik pelantikan Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Hakim Richard Malanjum dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, mengatakan mereka bukan Bumiputera atau orang Melayu.

Pada pilihan raya kecil Semenyih Sabtu lalu, calon BN Zakaria Hanafi memenangi pertandingan empat penjuru dengan majoriti 1,914 undi sekaligus merampas kerusi itu daripada PH.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Adunnya sebelum ini, Mohd Bakhtiar Mohd Nor dari PH, akibat serangan jantung pada 11 Januari.

Bakhtiar telah memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 8,964. – 4 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen