RAKYAT Malaysia menunjukkan tahap kepercayaan yang tinggi terhadap kerajaan berbanding tahun lalu, menurut satu tinjauan antarabangsa dalam talian baru-baru ini.
Tinjauan tahunan Edelman Trust Barometer ke-19 yang diadakan di 26 negara pada tahun lalu, mendapati indeks kepercayaan terhadap kerajaan Malaysia berubah daripada ‘tidak percaya’ (46) pada tahun sebelumnya kepada ‘dipercayai’ (60).
Tinjauan itu diadakan antara 19 Oktober dan 16 November tahun lalu dan melibatkan lebih 33,000 responden di 27 buah negara.
Pilihan raya umum pada Mei tahun lalu menyaksikan kerajaan Malaysia bertukar buat kali pertama dalam tempoh lebih 60 tahun apabila Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Dr Mahathir Mohamad menyingkirkan Barisan Nasional (BN).
Walaupun terdapat peningkatan tahap kepercayaan rakyat, Malaysia di belakang negara jiran, Singapura (67) dan Indonesia (75).
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia meraih pencapaian yang lebih baik berbanding negara membangun yang lain seperti Perancis (32), Ireland (38), Jepun (39), Jerman (40), Amerika Syarikat (40), Australia (42), Britain (42) dan Korea Selatan (48).
Edelman berkata tinjauan ini diadakan kerana kepercayaan merupakan aset berharga dalam semua institusi.
Kepercayaan akan menentukan sama ada pihak berkepentingan akan mencari organisasi yang boleh dipercayai, melabur inovasi barunya, dan menyokong atau mempertahankan mereka, katanya.
“Dalam masyarakat moden, kita mewakili aspek penting kesejahteraan kepada empat institusi iaitu perniagaan (kesejahteraan ekonomi), kerajaan (keselamatan negara dan dasar awam), media (maklumat dan pengetahuan) dan NGO (penyebab dan isu sosial) .
“Dalam memastikan suasana selamat sebagai aspek penting dalam hidup kita dan kesejahteraan kepada orang lain, kita perlu mempercayai mereka untuk bertindak dengan penuh integriti dan kepentingan terbaik buat kita.
“Membina kepercayaan harus menjadi salah satu keutamaan strategik yang paling penting dalam semua organisasi,” kata firma perunding hubungan dan pemasaran yang berpangkalan di AS itu. – 4 Mac, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen