PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim berkata parti itu bersedia dan mempunyai beberapa nama untuk dipertimbangkan sebagai calon bagi pilihan raya kecil DUN Rantau.
Menurutnya, beliau hanya menunggu mesyuarat yang akan diadakan pada Rabu bersama pimpinan parti untuk menyaring senarai nama berkenaan sebelum mereka boleh membuat pilihan calon yang akan bertanding.
“Kami sudah ada beberapa nama dan kami sudah bersedia,” katanya ketika mengulas berhubung pilihan raya kecil akan datang itu.
“Kami akan mengadakan mesyuarat pada Rabu untuk memuktamadkan senarai itu,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohamad Hasan, yang juga timbalan presiden Umno menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.
Pada 23 Mei tahun lalu, Dr Streram yang merupakan pakar bius, memfailkan petisyen di mahkamah untuk pilihan raya itu diadakan semula selepas mendakwa kemenangan Mohamad tidak sah.
Dalam petisyennya, beliau menamakan Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya kawasan Parlimen Rembau Amino Agus Suyub sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden keempat.
Pada 16 Februari, mahkamah pilihan raya mengisytiharkan kemenangan Mohamad dari Barisan Nasional pada PRU14 tidak sah dan terbatal.
SPR dijangka akan mengumumkan tarikh penting seperti penamaan calon, hari mengundi dan tempoh berkempen bagi pilihan raya itu pada Rabu. – 4 Mac, 2019
Komen