AMERIKA Syarikat (AS) menurun taraf misi diplomatik ke Palestin bermula hari ini selepas Washington menggabungkan konsulatnya di Baitulmaqdis dengan kedutaaan AS di Israel.
“Pada 4 Mac 2019, Konsulat Besar AS Baitulmaqdis akan bergabung dengan Kedutaan AS di Israel bagi membentuk misi diplomatik tunggal,” kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan.
Konsulat itu dibuka sebagai kedutaan sementara AS di Palestin sejak perjanjian Oslo pada 1990-an.
Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata langkah itu yang kali pertama diumumkan pada Oktober lalu, tidak akan mengubah dasar dan hasrat Washington untuk meningkatkan keberkesanan misi diplomatiknya.
Namun pemimpin Palestin melihat pengumuman itu sebagai langkah menentang mereka dan terus memberi pengiktirafan kepada Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
“Pentadbiran Presiden AS Donald Trump cuba terus menindas rakyat Palestin dan hak kami selain tidak mematuhi peraturan antarabangsa,” kata pegawai kerajaan Palestin Hanan Ashrawi dalam satu kenyataan. – AFP, 4 Mac, 2019.
Komen