MAJLIS Peguam dan kumpulan masyarakat sivil menggesa Putrajaya menunaikan janjinya untuk menghapuskan hukuman mati.
Presiden Bar Malaysia, George Varughese berkata terdapat reaksi negatif terhadap langkah itu terutama daripada keluarga mangsa jenayah.
“Berkenaan dengan keluarga mangsa jenayah kejam seperti pembunuhan, kami mengambil pendirian bahawa jika anda bertegas mengekalkan hukuman mati, ia sebenarnya menyokong pembunuhan ke atas pembunuhan. Apa yang kita lakukan pada dasarnya adalah mengambil nyawa bagi menggantikan nyawa yang hilang adalah tidak betul dan bagus untuk masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat mengenai hukuman mati.
“Kami menyimpulkan bahawa bukanlah peranan kerajaan membalas dendam untuk keluarga mangsa.”
Beliau menegaskan hukuman mati tidak pernah berkesan sebagai langkah pencegahan terhadap jenayah dan kadar jenayah tidak berkurangan meskipun terdapat hukuman mati.
Daripada mengekalkan hukuman mati, kerajaan boleh menggantikan undang-undang dan dasar untuk sokongan sosial yang mungkin dalam bentuk tuntutan ganti rugi, bagi keluarga mangsa.
Majlis Peguam berkata ini adalah perkara yang memerlukan kajian lanjut.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Amnesty International, Shamini Darshini Kaliemuthu yang hadir di sesi perbincangan meja bulat, berkata kerajaan tidak boleh tunduk kepada tekanan daripada mereka yang berjuang untuk mengekalkan hukuman mati.
Beliau menggesa kerajaan memperlihatkan lebih kesungguhan politik dan komitmen politik dalam menghapuskan hukuman mati dan juga membuat pengumuman tegas dalam Kajian Semula Berkala Sejagat (UPR) yang akan datang di Geneva, Switzerland, yang akan diadakan bulan ini.
Katanya, kerajaan harus berpegang kepada pengumuman dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Undang-undang Liew Vui Keong pada 10 Oktober, 2018 yang satu rang undang-undang akan dibentangkan untuk menghapuskan hukuman mati. – 4 Mac, 2019.
Komen