Anak pengasas Huawei saman pihak berkuasa Kanada


Ketua Pegawai Kewangan Huawei Meng Wanzhou mendakwa hak perlembagaannya dilanggar ketika beliau ditahan di Vancouver. – Gambar EPA, 4 Mac, 2019.

PEGAWAI kewangan syarikat gergasi Huawei, Meng Wanzhou memfailkan saman terhadap pihak berkuasa Kanada kerana melanggar hak perlembagaannya ketika ditahan di Vancouver, kata peguamnya pada Ahad.

Mendakwa menderita kerana “pelanggaran serius hak perlembagaannya,” beliau “menuntut ganti rugi bagi misfeasans pejabat awam dan salah penjara” ketika ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver pada 1 Disember, menurut peguam Howard Mickelson dan Allan Doolittle dalam satu kenyataan.

Ahli perniagaan berusia 47 tahun itu menukar pesawat di Vancouver ketika ditahan atas permintaan Washington kerana disyaki melanggar sekatan AS terhadap Iran - menyebabkan penahanan beberapa warga Kanada di China yang dilihat sebagai tindakan timbal balas.

Peguamnya mendakwa situasi tidak wajar semasa Meng disoal selama tiga jam oleh pegawai kastam, yang merupakan sebahagian daripada pemeriksaan rutin, sebelum dikenakan dengan penangkapan rasmi.

Selama tiga jam itu, pegawai kastam itu menggeledah telefon dan komputernya serta bagasinya, yang melanggar hak beliau, kata para peguam.

Aduan itu dibuat pada Jumaat, pada hari yang sama Jabatan Keadilan Kanada secara rasmi memperoses urusan ekstradisi Meng Wanzhou ke Amerika Syarikat.

Jabatan Kehakiman AS menuduh Huawei dan ketua pegawai kewangannya melanggar sekatan AS terhadap Iran, tetapi juga, melalui dua sekutu, mencuri rahsia perdagangan daripada kumpulan telekomunikasi AS T-Mobile.

Beliau yang juga merupakan anak perempuan pengasas Huawei, dibebaskan dengan parol pada pertengahan Disember di Vancouver, di mana beliau memiliki dua kediaman, dengan deposit bon sebanyak C$10 juta (AS$6.6 juta), memakai gelang elektronik dan menyerahkan pasportnya.

Beliau dijadualkan dihadapkan di depan hakim Vancouver pada Rabu minggu depan “untuk mengesahkan writ mahkamah dikeluarkan dan untuk menetapkan jadual tarikh pendengaran ekstradisi,” kata mahkamah Kanada itu.

Prosedur ekstradisi boleh memakan masa beberapa bulan atau bahkan bertahun kerana kemungkinan banyak rayuan akan dibuat.

China berang dengan dakwaan AS terhadap Meng, mengatakan tindakan itu bermotifkan politik dan percubaan untuk melemahkan syarikat telekomunikasi utamanya.

Huawei dengan tegas menafikan sebarang kesalahan. – AFP, 4 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen