HAMPIR 300 orang warga Syria yang disyaki terlibat kumpulan jihadis Daesh dibebaskan kerana mereka tidak melakukan jenayah “berdarah”, kata pihak berkuasa Kurdi.
Pembebasan mereka diumumkan pada Sabtu oleh pentadbiran Kurdi yang memiliki separuh autonomi di wilayah utara Syria, yang mengatakan dalam satu kenyataan bahawa 283 orang warga Syria telah dibebaskan.
Ketua-ketua suku dan pegawai-pegawai tempatan dikatakan telah melobi untuk tahanan-tahanan tersebut dibebaskan.
Kenyataan itu mengatakan mereka adalah individu yang “tidak mempunyai darah penduduk Syria di tangan mereka”, yang menjelaskan bahawa tahanan-tahanan tersebut tidak mengambil bahagian dalam sebarang pertempuran.
“Mereka telah tersesat jalan… Melanggar tradisi masyarakat Syria dan undang-undang, dan ada juga beberapa daripada mereka telah ditipu… Namun mereka tetap anak-anak Syria kita,” katanya.
Keputusan membebaskan tahanan tersebut adalah satu tanda “kerjasama, persaudaraan dan kecintaan,” kata kenyataan itu yang disiarkan di laman web pasukan Demokrasi Syria (SDF) yang diketuai puak Kurdi.
Para tawanan itu dibebaskan di beberapa daerah di utara Syria yang dikuasai puak Kurdi, termasuk kota Raqqa, yang merupakan ibukota negara semasa pemerintahan “khalifah” Daesh, kata kenyataan itu lagi. – AFP, 3 Mac, 2019.
Komen