Kami akan terus cari jawapan, kata waris mangsa MH370 


Alfian Z.M. Tahir

Sebahagian daripada kad ucapan yang ditujukan khas kepada ahli keluarga mangsa dipamerkan pada acara memperingati mangsa tragdi MH370 di pusat membeli belah Publika, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 Mac, 2019

LIMA tahun selepas kehilangan tragis pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370, ahli keluarga mangsa masih menaruh harapan misteri di sebalik tragedi itu akan terungkai.

Pada satu majlis memperingati tragedi itu di pusat membeli belah Publika hari ini, beberapa waris terdekat penumpang dan kru kabin pesawat malang itu berkata walaupun gagal dalam pencarian di laut dalam bagi mencari lebih banyak maklumat berhubung insiden itu, mereka akan terus berjuang untuk mencari jawapannya.

“Mempunyai serpihan di sini, pada acara ini tidak semestinya ia akan ditutup. Ahli keluarga mahu tahu kebenaran,” kata Narendran KS dari India, yang mana isterinya Chandrika Sharma merupakan salah seorang daripada 239 penumpang penerbangan MH370 itu.

“Doa kami masih tidak berubah. Cari pesawat, cari penumpang, berikan kami kebenaran. Tidak ramai yang yakin dengan kehilangan itu.

“Kerajaan tanggung beban untuk cari bukti yang boleh dipercayai,” katanya pada Majlis Memperingati MH370 yang ke lima tahun di Publika hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang turut hadir pada acara itu, berikrar untuk mencari kebenaran di sebalik insiden itu, dan menambah amat malang bagi keluarga dan rakan kerana tidak mendapat jawapan kukuh sejak lima tahun lalu.

“Saya di sini dengan berat hati, lima tahun sudah berlalu dan kami masih mencari jawapan bagi 239 nyawa yang menaiki pesawat itu,” kata Loke.

“Malang sekali tiada jawapan yang diberikan kepada keluarga yang terlibat. Kai akan terus mencuba sedaya upaya untuk mencari kebenaran dan kami akan kekal tegas dalam menyelesaikan misteri ini,” katanya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tengah) turut hadir pada majlis memperingati mangsa tragedi MH370 di Hartamas hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 Mac, 2019

“Kerajaan berharap akan ada oetunjuk baharu yang bleh dipercayai dan kami berjanji akan berikan jawapan.”

Sementara itu, ibu kepada salah seorang mangsa MH370, Grace Subhatirai Nathan menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk mengambil tawaran yang diberikan Ocean Infinity Ltd untuk meneruskan pencarian laut dalam.

Beliau berkata kerajaan perlu mengambil peluang ini kerana kosnya berdasarkan tawaran “tiada penemuan, tiada bayaran”.

“Saya mengalu-alukan ucapan menteri dan kami berterima kasih dengan janji yang dibuat dan saya sudah mencatat apa yang beliau nyatakan.

“Bagaimanapun saya ingin memohon kepada kerajaan untuk mengambil tawaran yang dibuat Ocean Infinity Ltd untuk meneruskan pencarian laut dalam.

“Syarikat itu sudah buat tawaran ‘tiada penemuan, tiada bayaran’ dan kami percaya kerajaan tidak perlu teragak-agak untuk terima tawaran itu,” katanya.

Penerbangan MH370 hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014 dan diklasifikasikan sebagai antara misteri penerbangan dunia paling besar.

Australia, Malaysia dan China secara bersama menggantung pencarian bawah air pesawat itu selama dua tahun pada Januari tahun lalu. Tiada tanda pesawat itu ditemui dalam kawasan pencarian 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Setakat ini, hanya tiga serpihan MH370 ditemui, kesemuanya di pesisir pantai barat Lautan Hindi, termasuk bahagian sayap berukuran dua meter yang dipanggil flaperon.

Pada Januari tahun lalu, bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai berkata pencarian MH370 akan bersambung dengan kapal pencari Ocean Infinity Seabed Constructor cuba membuat pencarian meliputi kawasan berkeluasan 25,000 kilometer persegi dalam 90 hari selepas perjanjian dicapai antara kedua-dua pihak.

Misi utama kapal adalah untuk mengenal pasti lokasi bangkai dan / atau kedua-dua perakam penerbangan; perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR).

Apabila usaha pencarian itu gagal, syarikat berkenaan secara rasminya menghentikan pencarian pada Jun tahun lalu. – 3 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen