KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan antara pemimpin pertama parti itu memohon maaf kepada penduduk Semenyih menerusi media sosial berikutan kekalahan Pakatan Harapan semalam.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional kerana menawan kerusi negeri Selangor itu.
“Kepada penduduk Semenyih saya susun sepuluh jari memohon maaf kalau ada yang terkurang.
“Tahniah Barisan Nasional di atas kemenangan di Semenyih.”
Beliau berkata partinya itu akan terus melangkah ke hadapan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pemuda Bersatu Mahathir Mohd Rais berata parti itu telah memandang rendah BN dan calonnya.
“Kami buat beberapa kesilapan ketika berkempen. Kami terlalu memandang rendah kepada BN dan calonnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, PH turut memandang rendah sentimen rakyat, kerana retorik politik tidak lagi penting berbanding isu seperti kos sara hidup dan ekonomi.
“PH perlu beajar dan tidak memandang rendah sentimen rakyat dan belajar daripada keputusan itu. Rakyat tidak lagi peduli dengan retorik politik,” katanya.
BN menawan semula kerusi DUN Semenyih apabila calonnya Zakaria Hanafi memenangi pertandingan empat penjuru dengan majoriti 1,914 undi.
Zakaria, 58 menerima 19,780 undi untuk menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, 30 yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia Nik Aziz Afiq Abdul mendapat 847 undi dan calon bebas Kuan Chee Heng, 56 mendapat 725 undi.
Pemimpin Umno Hishammuddin Hussein turut meraikan kejayaan itu dan berterima kasih kepada PAS kerana membantu BN menang menerusi Twitter.
“Terima kasih yang tak terhingga juga kepada seluruh jentera PAS bertungkus-lumus berkempen di Semenyih,” katanya.
Katanya kerjasama antara kedua-dua parti berbaloi dalam pilihan raya kecil itu.
“Kerjasama Umno dan PAS terserlah melalui kerjasama gerak kerja PDM Kantan Permai - dizahirkan demi kebaikan serta penyatuan ummah!” katanya.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan turut mengucapkan terima kasih kepada PAS di media sosial kerana kerjasama dan usaha dalam pilihan raya itu.
“Saya berterima kasih kepada semua jentera Umno dan prti komponen BN. Juga tidak lupa kepada pimpinan dan penyokong PAS kerana tidak jemu bekerjasama dengan BN untuk berkempen,” katanya. – 3 Mac, 2019
Komen