Dr Mahathir bukan lagi diktator


Low Han Shaun

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman berkata Dr Mahathir Mohamad satu-satunya pemimpin yang menyokong cadangan belia untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan menteri kepada dua penggal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 September, 2017.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bukan diktator seperti tanggapan ramai orang, menurut dua ahli panel forum malam tadi, Syed Saddiq Abdul Rahman dan Fahmi Fadzil.

Dua ahli politik muda daripada Bersatu dan PKR itu berkata Dr Mahathir kini banyak memberi sokongan terhadap perubahan dan mahu mendengar semua pandangan sebelum keputusan dibuat terhadap sesuatu isu.

“Pertama ialah perubahan sokongannya terhadap Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej (AUKU) yang melarang penyertaan pelajar dalam politik. Tiga kali beliau cakap tidak lagi menyokongnya di depan umum.

“Kedua beliau umum sokongannya dalam membahagikan portfolio menteri, seperti perdana menteri dan menteri kewangan untuk memastikan tidak berlaku pertindihan dan ketelusan yang lebih baik.

“Beliau juga satu-satunya pemimpin yang menyokong cadangan belia, seperti mengehadkan tempoh menteri kepada dua penggal,” kata Syed Saddiq, ketua Pemuda Bersatu.

Fahmi yang juga pengarah komunikasi PKR berkata beliau terkejut bila Dr Mahathir terbuka menerima nasihat pemimpin pembangkang lain dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH).

“Tanggapan saya terhadapnya ialah seorang tokoh autoritarian dan ‘hanya pandangannya saja diterima’,” katanya yang terbabit dalam politik ketika gerakan Reformasi 1998 selepas timbalan perdana menteri pada masa itu, Anwar Ibrahim dipecat oleh Dr Mahathir.

“Namun bila beliau dalam PH, menarik untuk melihat beliau mahu pemimpin menyuarakan pandangan mereka, seperti dalam mesyuarat logo PH baru-baru ini,” katanya.

Fahmi berkata Dr Mahathir minta semua orang suarakan pendapat dan memastikan semua orang memberikan pandangan masing-masing.

Beliau berkata penting untuk belia memahami yang “ini bukan tentang kembalikan masa silam atau pembangkang buat pusingan-U, tetapi untuk bekerjasama demi menyelamatkan negara”.

“Bagi saya, saya sudah lihat Dr Mahathir dalam mesyuarat PH walaupun anda kata beliau sudah tua, tetapi tenaga beliau, dari 8 malam hingga 12 tengah malam masih boleh teruskan mesyuarat, beliau orang terakhir ke tandas, beliau ada tenaga itu,” katanya.

Fahmi dan Syed Saddiq menjawab soalan daripada hadirin mengenai mengapa PH ada pemimpin senior seperti Dr Mahathir ketika ia pada masa sama mendesak pembabitan lebih ramai beliau dalam proses politik.

Syed Saddiq dan Fahmi bersama Syahredzan Johan dan Dyana Sofya Mohd Daud menjadi ahli panel pada forum “Ubah Kerajaan atau Ubah Belia” anjuran Kelab Bangsar Utama dengan Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar sebagai moderator. – 7 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen