PESAWAT terbang Israel telah menyerang dua kawasan pengawasan Hamas di Semenanjung Gaza, kata sumber angkatan keselamatan pada hari Ahad, selepas tentera melaporkan terdapat belon yang membawa “alat peledak” dihantar ke kawasan Israel.
Tidak ada kecederaan yang berlaku akibat serangan lewat Sabtu di kawasan timur Al-Bureij di Semenanjung Gaza dan timur Rafah di selatan kawasan kepungan yang dikawal oleh gerakan Islam Hamas, kata sumber keselamatan Hamas.
Serangan berlaku selepas “beberapa belon yang membawa alat peledak dilancarkan dari Gaza ke wilayah Israel,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
“Tidak ada kecederaan atau kerosakan dilaporkan,” katanya.
Rabu lepas, pesawat Israel mensasarkan beberapa lokasi di Gaza setelah “belon letupan” yang dilancarkan dari Palestin merosakkan sebuah rumah di Israel.
Penduduk Palestin di Gaza sejak beberapa bulan lalu melancarkan belon dengan peranti letupan dan peledak di selatan Israel seiring dengan protes dan pertembungan mingguan yang berlaku di kawasan tembok pemisah.
Sekurang-kurangnya 251 orang Palestin dibunuh akibat tembakan dari Israel sejak Mac 2018, kebanyakan mereka ditembak semasa protes mingguan di kawasan sempadan di samping turut berdepan dengan tembakan dari kereta kebal atau serangan udara sebagai tindak balas terhadap keganasan dari Gaza.
Dua tentera Israel dilaporkan terbunuh dalam tempoh yang sama.
Israel dan Hamas menjadi musuh dan telah bertembung dalam tiga buah peperangan sejak 2008. – AFP, 3 Mac, 2019.
Komen