Belia Malaysia perlu beri Dr Mahathir peluang


Low Han Shaun Chan Kok Leong

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman (dari kiri), Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dan peguam Syahredzan Johan menjawab soalan hadirin pada forum “Ubah Kerajaan atau Ubah Belia” malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 September, 2017.

MENERUSI satu forum malam tadi, golongan belia Malaysia diseru untuk memberi peluang kepada Dr Mahathir Mohamad, ketika mereka keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam forum itu berkata beliau sebelum ini pengkritik tegar bekas perdana menteri itu, tetapi segala-galanya berubah bila bertemu dengannya.

“Saya ingat lagi ketika skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terbongkar bila tidak ada bukti dokumentari, saya fitnah Mahathir depan ibu bapa saya.

“Malah mengubah pandangan ibu saya yang menyokongnya supaya menentang beliau,” katanya, yang menjadi salah seorang daripada empat ahli panel forum “Ubah Kerajaan atau Ubah Belia” malam tadi.

Syed berkata Dr Mahathir yang dikenalinya hari ini, sangat berbeza dengan sebelum ini dan ada tiga perkara dilakukan negarawan berusia 92 tahun itu, yang mengubah persepsinya terhadap beliau.

“Pertama ialah perubahan sokongannya terhadap Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej (AUKU) yang melarang penyertaan pelajar dalam politik. Tiga kali beliau cakap tidak lagi menyokongnya di depan umum.

“Kedua beliau umum sokongannya dalam membahagikan portfolio menteri, seperti perdana menteri dan menteri kewangan untuk memastikan berlakunya pembaharuan kementerian.

“Terakhir, beliau satu-satunya pemimpin yang mempertahankan saya, terhadap semua cadangan belia, seperti mengehadkan penggal menteri, mendesak kerjasama dengan memilih pemimpin muda, beliau satu-satunya pemimpin yang menyokong kami dari mula,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata beliau terkejut bila Dr Mahathir terbuka menerima nasihat pemimpin pembangkang lain dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH).

“Saya rasa ia menarik. Sebelum ini saya tidak ada interaksi dengan Dr Mahathir, tanggapan saya terhadapnya ialah seorang tokoh autoritarian dan ‘hanya pandangannya saja diterima’.

“Namun bila beliau dalam PH, menarik untuk melihat beliau mahu pemimpin menyuarakan pandangan mereka, seperti dalam mesyuarat logo PH baru-baru ini,” katanya.

Fahmi berkata penting untuk belia Malaysia tahu yang “ini bukan tentang kembalikan masa silam atau pembangkang buat pusingan-U, tetapi untuk bekerjasama demi menyelamatkan negara”.

“Bagi saya, saya sudah lihat Dr Mahathir dalam mesyuarat PH walaupun anda kata beliau sudah tua, tetapi tenaga beliau, dari 8 malam hingga 12 tengah malam masih boleh teruskan mesyuarat, beliau orang terakhir ke tandas, beliau ada tenaga itu,” katanya.

Dyana Sofya Mohd Daud daripada DAP dan peguam Syahredzan Johan turut serta sebagai ahli panel dalam forum anjuran Kelab Bangsar Utama itu sementara Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar bertindak sebagai moderator. – 7 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen