SEORANG peguam hak asasi manusia China yang terkenal muncul selepas dua hari hilang susulan pembebasannya daripada hukuman penjara di atas dakwaan aktiviti subversif, kata isteri beliau pada hari Ahad.
Jiang Tianyong - yang sering mengambil kes-kes berprofil tinggi termasuk pengamal ajaran Falun Gong dan penunjuk perasaan Tibet - adalah salah seorang daripada lebih 200 peguam dan aktivis yang ditahan dalam operasi mendiamkan kritikan-kritikan terhadap pihak berkuasa komunis pada tahun 2015.
Lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan hilang pada hari Khamis selepas dilepaskan daripada hukuman penjara dua tahun, sebelum beliau muncul semula di kampung halamannya Xinyang, di wilayah Henan, kata isteri beliau yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Penyokong beliau memberitahu polis mengatakan Jiang telah dibebaskan dan memberitahu mereka bahawa beliau telah “diambil” namun tidak menjelaskan siapa yang mengambil beliau dari penjara.
“Selepas tidak bertemu antara satu sama lain selama enam tahun, kami akhirnya dapat bercakap dan sembang menerusi video,” kata Jin Bianling kepada AFP.
Walau bagaimanapun Jiang yang berjaya dibebaskan daripada hukuman penjara mengatakan “dia masih tidak bebas,” tambah Jin lagi.
“Dia tinggal di rumah ibu bapanya sekarang, namun ada polis ditempatkan di luar rumah. Di mana sahaja dia pergi, polis akan ikut,” kata Jin.
“Saya juga bimbang dia hilang pada bila-bila masa, jadi saya harap dia boleh datang ke AS secepat mungkin bagi menyatukan semula keluarga kami.”
Para aktivis hak asasi manusia dan pembangkang di China sering diawasi atau menghadapi sekatan berterusan selepas mereka menjalani hukuman penjara. – AFP, 3 Mac, 2019.
Komen