PELAWAT yang pernah disabitkan kesalahan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak akan dihalau atau dilarang memasuki Australia.
Menteri Imigresen Australia David Coleman semalam berkata demikian ketika Canberra menggiatkan usahanya membanteras penjenayah warga asing.
Undang-undang baharu itu yang mula berkuat kuasa Khamis lalu, dibuat atas perundangan sedia ada yang akan menyebabkan visa pelawat dibatalkan jika pemegangnya pernah dihukum penjara 12 bulan atau lebih.
“Australia tidak akan bertoleransi dengan pelaku keganasan rumah tangga,” kata Coleman dalam satu kenyataan, menambah tiada hukuman minimum diperlukan.
“Jika anda pernah disabitkan kesalahan keganasan rumah tangga terhadap wanita dan kanak-kanak, anda tidak dialu-alukan ke negara ini.”
Canberra sebelum ini pernah menolak visa untuk penyanyi R&B Amerika Syarikat Chris Brown dan bintang tinju Floyd Mayweather susulan sabitan keganasan rumah tangga yang dikenakan terhadap mereka.
New Zealand sebelum ini menzahirkan kekecewaan terhadap undang-undang Canberra menghantar pulang pesalah, di mana penjenayah warga New Zealand dihantar pulang selepas menjalani hukuman penjara, walaupun sebahagian daripada mereka sudah lama menetap di Australia. – AFP, 3 Mac, 2019.
Komen