Trump gesa China hapus tarif produk pertanian AS


Petani AS sangat bergantung kepada perdagangan seperti dengan China: pada 2017, sekitar satu pertiga pengeluaran kacang soya AS - bernilai AS$14 bilion dieksport di sana untuk digunakan sebagai makanan babi. – Gambar AFP, 3 Mac, 2019.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat menggesa China menghapuskan tarif produk pertanian yang diimport dari AS - sambil menambah perbincangan perdagangan antara kuasa yang sering bersaing itu berjalan lancar.

“Saya sudah meminta China segera membatalkan semua tarif pada produk pertanian kami (termasuk daging lembu, babi, dan lain-lain),” kata presiden itu di Twitter.

Beliau berkata permintaannya berdasarkan fakta yang rundingan dengan China berjalan baik dan penangguhan pada minggu lalu berhubung rancangan kenaikan tarif terhadap eksport Cina.

“Ini sangat penting bagi petani kita - dan saya!” dia menambah.

Selepas berbulan berlaku perang perdagangan, AS dan China bersetuju dengan perdamaian sementara selama 90 hari untuk menyelesaikan perbezaan mereka.

Ia dijadualkan berakhir pada Jumaat, tetapi Trump akhirnya menarik kata dua untuk menaikkan tarif, berpuas hati dengan kemajuan yang dibuat dalam beberapa rundingan di Beijing dan Washington.

Pegawai ekonomi White House Larry Kudlow berkata pada Khamis, kedua-dua negara berada di ambang perjanjian perdagangan “bersejarah”.

Pertemuan antara Trump dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, juga dijangka pada bulan ini.

Selepas rundingan terkini pada Februari, Setiausaha Pertanian AS, Sonny Perdue menulis di Twitter yang China komited untuk membeli “tambahan” 10 juta tan metrik kacang soya sebagai “tanda kejujurannya”.

Petani AS sangat bergantung kepada perdagangan seperti dengan China: pada 2017, sekitar satu pertiga pengeluaran kacang soya AS - bernilai AS$14 bilion dieksport di sana untuk digunakan sebagai makanan babi.

Eksport itu menjunam musim panas lalu, apabila China mengenakan tarif terhadap kacang soya AS dan produk pertanian lain.

Sebelum ini, sebagai tanda muhibah awal perdamaian sementara, China pada Disember meneruskan pembelian kacang soya.

Tetapi tarif China menjejaskan teruk pertanian AS - kawasan yang memberi sokongan besar kepada Trump. – AFP, 3 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen