RATUSAN penunjuk perasaan membuat bantahan di Lubnan semalam terhadap perkahwinan kanak-kanak, mendesak wakil rakyat melarang pernikahan di bawah usia 18 tahun, di negara itu di mana sebahagian kepercayaannya membenarkan anak perempuan berkahwin pada usia 14 tahun.
Dianjurkan oleh beberapa kumpulan persatuan sivil, himpunan itu menarik wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat – termasuk wakil rakyat – yang turut berarak di Parlimen di ibu kota Beirut.
Sebahagiannya membawa sepanduk dengan slogan “Tidak sebelum 18” dan “Hentikan perkahwinan muda”.
Abir Abdel Razeq, 22, yang turut serta sambil mendukung anak perempuannya, berkata dia berkahwin pada usia 14.
“Saya harap anak perempuan saya tidak perlu berkahwin muda, dan dia boleh tamatkan persekolahan. Saya harap dia tidak akan berkahwin sebelum usianya 22 tahun.”
Tunjuk perasaan itu diadakan susulan satu rang undang-undang meletakkan umur minimum perkahwinan pada 18 tahun, sedang dipertimbangkan oleh Parlimen.
Lubnan tidak ada undang-undang perkahwinan dan perceraian yang diguna pakai di seluruh negara, kerana ia ditadbir oleh 18 komuniti agama.
Elemen dalam kedua-dua komuniti Islam dan Kristian membenarkan anak perempuan dikahwinkan pada usia 14 tahun. – AFP, 3 Mac, 2019.
Komen