Rakyat Pakistan tandatangan petisyen Hadiah Keamanan Nobel untuk Imran Khan


Parlimen Pakistan menyifatkan Perdana Menteri Imran Khan memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan antara negara itu dengan India. – Gambar EPA, 3 Mac, 2019.

LEBIH 300,000 orang menandatangani petisyen dalam talian menggesa Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menerima Hadiah Keamanan Nobel selepas beliau membebaskan seorang juruterbang India dalam usaha untuk meredakan ketegangan dengan negara jirannya.

Penahanan Komander Udara Abhinandan Varthaman menjadi fokus bagi permulaan semula permusuhan di antara dua pesaing senjata nuklear yang mengejutkan masyarakat antarabangsa.

Ketegangan semakin menjadi-jadi sejak pengeboman bunuh diri di Kashmir bulan lalu yang didakwa dilakukan oleh militan berpangkalan di Pakistan yang membunuh 40 orang paramilitari India.

Hashtag #NobelPeaceForImranKhan mula menjadi “trending” di Twitter pada Khamis selepas Khan secara tidak disangka mengumumkan bahawa juruterbang yang ditangkap itu akan dibebaskan sebagai “usaha perdamaian”.

Abhinandan yang merupakan jurterbang pesawat tempur MiG, ditembak jatuh ada Rabu selepas dikejar jet pejuang Pakistan di ruang udara Kashmir, kembali ke India pada petang Jumaat.

Dua kempen sama pada platform change.org yang dilancarkan oleh pengguna Internet di UK dan Pakistan meminta Imran Khan dicalonkan untuk hadiah tahun depan “bagi usaha dan dialog damainya di rantau Asia mengenai pelbagai konflik”.

Ia mendapat lebih 240,000 dan 60,000 tandatangan digital.

Menteri Penerangan Pakistan, Fawad Chaudhry pada Sabtu juga menyampaikan resolusi di Parlimen negara itu menuntut Khan diberikan penghargaan atas sumbangannya kepada keamanan di rantau ini.

“Imran Khan memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dalam meredakan ketegangan antara Pakistan dan India,” kata resolusi itu.

Dalam ucapannya yang mengumumkan pembebasan Abhinandan, Khan merujuk kepada akibat bencana perang nuklear ketika menyeru untuk berbincang dengan New Delhi.

Ribuan orang di seluruh dunia dibenarkan untuk membuat pencalonan untuk Hadiah Keamanan, termasuk anggota Parlimen dan menteri kerajaan, bekas pemenang dan profesor universiti. – AFP, 3 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen