Putrajaya harap dapat segera jual Equanimity


Bede Hong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa melawat Equanimity yang berlabuh di terminal Boustead Cruise di Pelabuhan Klang pada 11 Ogos tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2019.

DENGAN jumlah RM15 juta yang sudah dibelanjakan untuk pemulihan Equanimity, Putrajaya berharap ia dapat meraih jualan dengan harga sekurang-kurangnya AS$130 juta (RM530 juta) bagi kapal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada 31 Mac.

Kapal pesiar mewah berukuran 91m yang berlabuh di Langkawi itu sedang diselenggara oleh kerajaan dengan kos kira-kira RM2 juta sebulan - perbelanjaan besar terpaksa ditanggung Putrajaya yang sedang bergelut dengan hutang RM1 trilion, tinggalan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pada tahun lepas, Putrajaya mahu melupuskan kapal itu secepat mungkin, dengan alasan kos penyelenggaraan bulanan yang tinggi.

Kerajaan mengumumkan pada Disember ia berusaha untuk menjual kapal secara persendirian pada 31 Mac dengan panduan harga sebanyak AS$130 juta.

Peguam yang dilantik oleh kerajaan untuk mengawasi penjualan kapal itu gembira dengan progresnya.

“Semua berjalan lancar,” kata peguam Sitpah Selvaratnam kepada The Malaysian Insight.

Sitpah dilantik oleh Jabatan Peguam Negara untuk menasihati kerajaan mengenai penjualan Equanimity itu.

Ahli perniagaan dikehendaki Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, membeli Equanimity dengan harga AS$250 juta pada 2014, didakwa menggunakan dana berkaitan 1MDB.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan tindakan pelucuthakan ke atas Equanimity pada 15 Jun 2017, dengan asas Low membeli kapal pesiar mewah itu dengan dana yang dicuri dan diselewengkan daripada 1MDB.

Equanimity kini disimpan di Langkawi dan sedang diselenggara oleh kerajaan dengan kos kira-kira RM2 juta sebulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2019.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Amerika menarik tindakan pelucuthakan pada 21 Disember.

Tindakan penarikan balik pelupusan DoJ itu mengiktiraf kesahihan pengisytiharan pemilikan Equanimity oleh Mahkamah Admiralty Malaysia, kata pasukan undang-undang yang mewakili kerajaan dalam kes ini.

Peguam 1MDB Jeremy Joseph baru-baru ini berkata pihak berkepentingan boleh menghubungi kerajaan dan 1MDB, selain Burgess.

Joseph, yang bertindak untuk kerajaan serta 1MDB dan dua anak syarikatnya - 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited - berkata bagaimanapun, Burgess tetap menjadi ejen pusat eksklusif.

“Pengisytiharan oleh Mahkamah Admiralty Malaysia pada 19 Oktober 2018 yang Equanimity dimiliki oleh syarikat-syarikat 1MDB masih tidak boleh dicabar. Ia kini jelas tanpa keraguan tiada siapa boleh bersaing tuntutan terhadap Equanimity, termasuk Low.”

Peguam itu berkata penjualan Equanimity oleh Mahkamah Admiralti Malaysia memberikan status “bersih dan jelas” kepada pembeli, dan diiktiraf dalam bidang kuasa admiralti di seluruh dunia.

Equanimity adalah kapal pesiar mewah ke-54 terbesar di dunia dan dibina oleh Oceano yang merupakan pembuat kapal layar berpangkalan di Belanda. – 3 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen