PAKATAN Harapan buat “silap besar” dengan menyerang “bossku” berbanding beri tumpuan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, kata Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu berkata PH sepatutnya beri lebih tumpuan kepada isu yang lebih penting untuk pengundi.
“Rakyat mahu tahu apa agenda mereka (PH) untuk mereka (rakyat) dan pendirian mereka (PH).
“Mereka perlu beri tumpuan kepada apa yang mereka mahu buat di sini tetapi sebaliknya mereka serang saya,” katanya di Pusat Pengiraan Undi SPR di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang.
SPR malam ini mengumumkan calon BN Zakaria Hanafi sebagai Adun Semenyih yang baharu.
Najib kebelakangan ini menjadi tumpuan rakyat dengan slogan “Malu apa bossku” juga turun berkempen di PRK Cameron Highlands.
Pada jelajah kempen PRK Semenyih, kemunculan pertamanya menarik lebih 500 orang.
Manakala, ceramah yang dihadirinya, sentiasa dipenuhi penduduk yang mahu bergambar dengan bekas pengerusi BN itu.
Najib berkata, BN kini sudah kembali meraih kepercayaan rakyat walaupun mereka bukan lagi dalam kerajaan.
“Faktor Bossku tidak dirancang dan muncul secara organik dan memikat hati orang muda.
“Rakyat juga sudah kembali kepada BN. Ini kerana kerjasama PAS dan Umno adalah faktor besar.”
Tambahnya, yang paling penting sekarang adalah rakyat sudah bersuara.
“Saya merasa rendah diri dengan kejayaan ini. Saya tak mahu kita bermegah-megah dengan kejayaan ini. Ini langkah kecil untuk BN ke depan.” – 2 Mac, 2019.
Komen