Biarpun kalah dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, calon Pakatan Harapan Aiman Zanali berikrar akan terus berkhidmat di kawasan tersebut.
Aiman berkata, nasib tidak menyebelahinya untuk mempertahankan kerusi yang pernah disandang ayah mentuanya, Allahyarham Bakthiar Mohd Nor.
“Insya-Allah akan cuba yang terbaik untuk dapatkan (janji) apa kita buat untuk Semenyih.
“Walaupun menang atau kalah, saya akan berusaha untuk buat terbaik untuk rakyat Semenyih,” katanya kepada media di Bilik Gerakan Utama di Semenyih.
SPR mengumumkan keputusan PRK Semenyih yang memihak kepada calon BN Zakaria Hanafi dengan majoriti 1,914 undi.
Sejurus selepas keputusan diumumkan, Aiman masih diraikan dengan tepukan gemuruh hampir 100 penyokong PH yang berada di bilik gerakan.
Beliau turut berterima kasih kepada pimpinan PH yang memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding pada PRK Semenyih.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan tertinggi PH terutama sekali Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.
“Kemudian (terima kasih) kepada semua jentera yang kuat berusaha dan bantu dalam PRK ini.” – 2 Mac, 2019.
Komen